Pemulihan Umno detik perkukuh BN

Pemulihan Umno detik perkukuh BN

Bersama Mior Kamarul Shahid

Parti perlu tegas laksana transformasi, pindaan perlembagaan

PERHIMPUNAN Agung Umno, diikuti dengan Perhimpunan Khas atau Luar Biasanya, minggu depan akan menentukan hala tuju parti itu selepas menempuh pelbagai pancaroba sejak ditubuhkan pada 1946. Ada yang mengatakan Umno memerlukan satu transformasi menyeluruh untuk tegak semula selepas menghadapi pelbagai kesan perubahan politik dan ekonomi dunia, perubahan sikap dan pemikiran rakyat, tekanan kemajuan teknologi dan paling penting kesan negatif terhadap nilai hidup moden, khasnya orang Melayu. Tugas untuk membetulkan semula Umno ini memerlukan keberanian politik yang amat tinggi kerana dalam Umno sebelum ini selalu berlaku ‘rumah siap, pahat terus berbunyi’. Disebabkan keadaan yang wujud hari ini berlaku ketika Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak memegang tampuk kepemimpinan Umno, bermakna seluruh beban untuk melakukan perubahan ini terletak di bahunya. Beliau tidak boleh lagi menoleh ke belakang kerana pilihannya hanyalah untuk bergerak ke depan. Di belakang adalah sejarah dan di depan adalah harapan bangsa. Jika beliau berani melakukannya dengan pendekatan yang diterima rakyat, Umno pasti bangkit semula, malah lebih perkasa. Umno tidak boleh lagi dibiarkan bergelumang dalam keadaan yang tidak menentu, jumud dan tidak berani membuat perubahan. Bagi orang Melayu, Umno tidak boleh dibiarkan terus lemas.

Gerak kerja untuk memulihkan Umno sudah berjalan agak lama khasnya sejak Najib mengambil alih tampuk kepemimpinan. Perdebatan dan perbahasan mengenai cara mana Umno perlu dipulihkan, bagaimana budaya dan sikap ahli Umno perlu diperbaiki dan sebagainya sudah pun berjalan di semua peringkat terutama pada mesyuarat tahunan cawangan. Kira-kira 17,000 ketua cawangan Umno menyedari gerak kerja yang dilakukan oleh Umno Pusat untuk memperbaiki Umno dan dikongsi dengan seluruh ahli akar umbi. Gerak kerja ini disusuli pula di peringkat bahagian bagi mendapatkan maklum balas mengenai perubahan yang perlu dilakukan dalam Umno.

Dalam proses perubahan ini, Umno terpaksa juga bergelut dengan masalah disiplin ahli. Yang bersalah dikenakan tindakan mengikut perlembagaan parti. Pada masa yang sama, mereka yang dikenal pasti mampu untuk meneruskan perjuangan bangsa sudah pun mula diterapkan ke dalam organisasi Umno. Mereka yang berasakan sudah terlalu lama dalam parti pula seorang demi seorang melepaskan kedudukan masing-masing untuk memberi peluang kepada muka baru menunjukkan bakat dan semangat mereka.

Umno perlu bergerak selaras dengan proses kematangan dan pemikiran rakyat. Disebabkan rakyat adalah sebahagian daripada ejen dan penggerak pembangunan, mereka mengenali pemimpin Umno yang jujur dan berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Persepsi bahawa pemimpin Umno berjuang untuk kepentingan rakyat perlu sentiasa wujud. Kepercayaan rakyat tidak seharusnya dimusnah hanya disebabkan oleh perbuatan segelintir mereka yang berkepentingan.

Proses memperbaiki Umno memerlukan kebijaksanaan. Ia perlu dilakukan secara menyeluruh bermula dengan melihat kedudukan organisasi itu terlebih dulu. Hari ini, Umno sudah bergerak ke tahap meminda perlembagaan parti kerana ia adalah nadi kepada apa juga keputusan dan tindakan parti. Umno memerlukan satu ‘undang-undang’ untuk setiap ahlinya seperti umat Islam mempunyai hukum dan peraturan yang membolehkan semua umatnya patuh kepada suruhan dan hukum agama. Umno juga memerlukan peraturan yang mantap dan tidak boleh dipersoalkan. Atas dasar inilah, peranan yang dimainkan jawatankuasa induk Pindaan Perlembagaan yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein begitu penting. Syor, perakuan, cadangan perubahan dan setiap perkara yang dikemukakan oleh jawatankuasa ini akan diperdebatkan oleh perwakilan nanti secara rasional dan ikhlas. Sekiranya melihat ada kelemahan, perwakilan tidak sepatutnya berasa gusar untuk melontarkan pandangan. Biarlah siapa juga terguris hati ketika membahaskan cadangan pindaan ini asalkan bangsa Melayu dapat menerima Umno dengan pemahaman yang baru dalam konteks semasa. Umno hari ini tidak boleh lagi disamakan dengan Umno 1946 kerana masa sudah berubah.

Draf cadangan pindaan perlembagaan sudah sedia untuk dibentangkan kepada perhimpunan agung khas selepas dibincang di peringkat jawatankuasa pengurusan parti dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Tertinggi (MT) serta Biro Politik MT dipengerusikan sendiri oleh Najib.

Hari ini, rata-rata rakyat, khasnya orang Melayu ingin melihat Umno melakukan perubahan drastik bermula dengan proses pemilihan pemimpin yang selama ini bertali arus menimbulkan perbalahan dan perpecahan. Berpandukan kepada formula baru yang dicadangkan, pemimpin Umno di peringkat Pusat akan ditentukan oleh hampir 150,000 ahli, bukan lagi kira-kira 2,500 ahli yang dipilih ke Perhimpunan Agung Umno setiap tiga tahun sekali. Satu lagi cadangan yang dianggap menarik ialah penghapusan sistem kuota yang boleh dianggap bahawa Umno berusaha untuk menjadi sebuah parti bersikap terbuka. Ini bermakna, sesiapa saja yang layak boleh bertanding sebarang jawatan dari peringkat cawangan hinggalah ke jawatan tertinggi parti asalkan mereka memenuhi syarat mudah yang ditetapkan. Kita tunggu, minggu depan.

~ oleh silamgemilang di Oktober 14, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: