Setinggan degil

Setinggan degil Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah DBKK teruskan operasi roboh kediaman rakyat asing KOTA KINABALU: Dalam tempoh tiga tahun sejak 2007, sudah berpuluh operasi meroboh setinggan dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di kawasan bakau dan tepi sungai sekitar Kampung Suang Parai, Pulau Penampang dan belakang pusat beli-belah 1Borneo, di sini. Bagaimanapun, operasi yang dijalankan penguatkuasa DBKK dengan bantuan anggota Rela dan polis belum berjaya menghapuskan semua setinggan di kawasan berkenaan dan sekitarnya walaupun kira-kira 2,000 rumah dirobohkan. Operasi sepanjang 2007 merobohkan 153 rumah dan meningkat kepada 556 unit tahun lalu. Bilangannya terus melonjak kepada 790 buah sepanjang tahun ini setakat minggu lalu. Tugas menghapus setinggan di kawasan berkenaan sepatutnya selesai tahun lalu selepas semua rumah dirobohkan, tetapi sasaran gagal dicapai gara-gara kedegilan penghuni setinggan membina semula kediaman di kawasan itu. Sehubungan itu, DBKK terpaksa meneruskan operasi perobohan awal tahun ini dan bilangan rumah baru yang dirobohkan setakat awal bulan ini meningkat hampir sekali ganda berbanding tahun lalu. Dalam operasi terbaru diketuai penguatkuasa DBKK, Inspektor Jainis Jailani Seking dan Sub Inspektor Sarawin Sirin, baru-barun ini, 30 rumah dirobohkan di Kampung Suang Parai dan kawasan berhampiran. Pegawai Perhubungan Awam DBKK, Syron Tunggolou, berkata DBKK berdepan kesukaran menghapuskan setinggan di kawasan itu kerana penghuninya bersedia dengan bahan binaan untuk membina semula kediaman selepas rumah mereka diroboh penguatkuasa. “Jika operasi perobohan dibuat pagi, sebelah petang mereka sudah mula membina semula kediaman. Ini menyukarkan usaha kita menghapuskan setinggan di kawasan berkenaan,” katanya sambil menambah kebanyakan penghuni adalah pendatang asing yang tidak mempunyai tempat untuk berpindah atau tidak mampu mencari rumah sewa. Beliau berkata, penghuni melarikan diri ketika operasi kerana takut ditahan polis tetapi sebaik selesai, mereka kembali mengutip sisa binaan rumah yang diroboh untuk membina yang baru di kawasan sama atau tapak baru. Keadaan itu bermakna tindakan meroboh setinggan bukan penyelesaian terbaik dan pendekatan baru wajar dicari, termasuk kemungkinan mengenakan kompaun kepada penghuni setinggan yang dikesan membina semula kediaman pernah diroboh. Syron berkata, pendekatan itu boleh diambil tetapi sukar dilaksanakan kerana penghuni setinggan akan lari ketika operasi dilakukan. “Mereka tidak tunggu penguatkuasa meroboh rumah mereka kerana takut ditahan, jadi sukar kita mengenakan kompaun. “Kalau tanah setinggan terbabit dimiliki individu, kompaun boleh dikenakan ke atas pemiliknya kerana membiarkan tanah mereka dijadikan kawasan setinggan tetapi kebanyakan rumah setinggan dibina di tanah rizab sungai dan bakau,” katanya. Berdasarkan Undang-Undang Kecil Bangunan DBKK, katanya, pendekatan utama mengatasi masalah struktur haram di bandar raya ini khususnya setinggan ialah operasi perobohan. Beliau berkata, hanya struktur haram dalam bangunan boleh dilaksanakan menerusi dua pendekatan iaitu perobohan dan mengkompaun pemiliknya jika didapati berulang kali melakukan kegiatan itu. “Kita sedar sukar menghapuskan setinggan pendatang asing kerana mereka sentiasa bersedia berdepan keadaan itu. “Kalau setinggan penduduk tempatan, DBKK boleh membantu mereka mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang khusus disewakan kepada mereka,” katanya.

~ oleh silamgemilang di Disember 25, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: