Masalah Bekalan Elektrik Di Pantai Barat Sabah Selesai 2014 : Musa

•Disember 25, 2009 • Tinggalkan Komen

Masalah Bekalan Elektrik Di Pantai Barat Sabah Selesai 2014 : Musa

 

KIMANIS (Sabah), 26 Nov (Bernama) — Projek Stesen Janakuasa Kimanis, yang akan menghasilkan 300mw kuasa mulai pertengahan 2014, dijangka membantu menyelesaikan masalah bekalan elektrik di Pantai Barat Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman pada Khamis.

Katanya, projek stesen janakuasa itu, yang diusahakan melalui kerjasama Petronas Gas Berhad dan Kumpulan Yayasan Sabah melalui anak syarikatnya NRG Consortium Sdn Bhd, akan digerakkan oleh gas asli yang dihasilkan dari Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) Petronas yang diusahakan berdekatan dengan tapak janakuasa itu.

“Stesen janakuasa ini diyakini berupaya memantapkan lagi kapasiti penjanaan kuasa seluruh negeri, selain daripada kapasiti sedia ada yang dikendalikan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan syarikat penjana bebas yang lain,” katanya pada majlis pecah tanah stesen itu di Kampung Kuala Benoni di sini.

Musa berkata Janakuasa Kimanis juga akan disambungkan terus ke grid utama negeri yang kemudiannya akan disalurkan bagi merancakkan aktiviti ekonomi Sabah.

Beliau berkata projek itu merupakan satu agenda pembangunan utama kerajaan yang akan memanfaatkan rakyat selaras dengan keperluan pesat industri dan pertumbuhan ekonomi Sabah.

— BERNAMA

Setinggan degil

•Disember 25, 2009 • Tinggalkan Komen

Setinggan degil Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah DBKK teruskan operasi roboh kediaman rakyat asing KOTA KINABALU: Dalam tempoh tiga tahun sejak 2007, sudah berpuluh operasi meroboh setinggan dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di kawasan bakau dan tepi sungai sekitar Kampung Suang Parai, Pulau Penampang dan belakang pusat beli-belah 1Borneo, di sini. Bagaimanapun, operasi yang dijalankan penguatkuasa DBKK dengan bantuan anggota Rela dan polis belum berjaya menghapuskan semua setinggan di kawasan berkenaan dan sekitarnya walaupun kira-kira 2,000 rumah dirobohkan. Operasi sepanjang 2007 merobohkan 153 rumah dan meningkat kepada 556 unit tahun lalu. Bilangannya terus melonjak kepada 790 buah sepanjang tahun ini setakat minggu lalu. Tugas menghapus setinggan di kawasan berkenaan sepatutnya selesai tahun lalu selepas semua rumah dirobohkan, tetapi sasaran gagal dicapai gara-gara kedegilan penghuni setinggan membina semula kediaman di kawasan itu. Sehubungan itu, DBKK terpaksa meneruskan operasi perobohan awal tahun ini dan bilangan rumah baru yang dirobohkan setakat awal bulan ini meningkat hampir sekali ganda berbanding tahun lalu. Dalam operasi terbaru diketuai penguatkuasa DBKK, Inspektor Jainis Jailani Seking dan Sub Inspektor Sarawin Sirin, baru-barun ini, 30 rumah dirobohkan di Kampung Suang Parai dan kawasan berhampiran. Pegawai Perhubungan Awam DBKK, Syron Tunggolou, berkata DBKK berdepan kesukaran menghapuskan setinggan di kawasan itu kerana penghuninya bersedia dengan bahan binaan untuk membina semula kediaman selepas rumah mereka diroboh penguatkuasa. “Jika operasi perobohan dibuat pagi, sebelah petang mereka sudah mula membina semula kediaman. Ini menyukarkan usaha kita menghapuskan setinggan di kawasan berkenaan,” katanya sambil menambah kebanyakan penghuni adalah pendatang asing yang tidak mempunyai tempat untuk berpindah atau tidak mampu mencari rumah sewa. Beliau berkata, penghuni melarikan diri ketika operasi kerana takut ditahan polis tetapi sebaik selesai, mereka kembali mengutip sisa binaan rumah yang diroboh untuk membina yang baru di kawasan sama atau tapak baru. Keadaan itu bermakna tindakan meroboh setinggan bukan penyelesaian terbaik dan pendekatan baru wajar dicari, termasuk kemungkinan mengenakan kompaun kepada penghuni setinggan yang dikesan membina semula kediaman pernah diroboh. Syron berkata, pendekatan itu boleh diambil tetapi sukar dilaksanakan kerana penghuni setinggan akan lari ketika operasi dilakukan. “Mereka tidak tunggu penguatkuasa meroboh rumah mereka kerana takut ditahan, jadi sukar kita mengenakan kompaun. “Kalau tanah setinggan terbabit dimiliki individu, kompaun boleh dikenakan ke atas pemiliknya kerana membiarkan tanah mereka dijadikan kawasan setinggan tetapi kebanyakan rumah setinggan dibina di tanah rizab sungai dan bakau,” katanya. Berdasarkan Undang-Undang Kecil Bangunan DBKK, katanya, pendekatan utama mengatasi masalah struktur haram di bandar raya ini khususnya setinggan ialah operasi perobohan. Beliau berkata, hanya struktur haram dalam bangunan boleh dilaksanakan menerusi dua pendekatan iaitu perobohan dan mengkompaun pemiliknya jika didapati berulang kali melakukan kegiatan itu. “Kita sedar sukar menghapuskan setinggan pendatang asing kerana mereka sentiasa bersedia berdepan keadaan itu. “Kalau setinggan penduduk tempatan, DBKK boleh membantu mereka mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang khusus disewakan kepada mereka,” katanya.

MAJLIS KAHWIN

•Disember 9, 2009 • Tinggalkan Komen

ASSALAMUALAIKUM

KUNJUNGAN KE MAJLIS PERKAHWINAN RAKYAT DI A SAHABAT

•Disember 5, 2009 • Tinggalkan Komen

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia, 1Silam dan 1family

Gambar ini dialbumkan untuk tatapan rakyat khususnya dikawasan 1Silam dan 1malaysia 1Dunia.

Hari Raya Korban Aidil Adha

•November 26, 2009 • Tinggalkan Komen

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam 1Malaysia, 1Silam dan 1Family

 

Pertama sekali marilah kita memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWt Yang Maha Penyayang, Yang Maha Kaya Lagi Maha Pengasih. Selawat Ke atas Junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Hari Raya Korban Aidil Adha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan diseluruh dunia bagi menandakan berakhirnya tempoh mengerjakan ibadat haji di Mekah, yang merupakan rukun Islam kelima yang terakhir bagi mereka yang mampu, dan menandakan bermulanya ibadat korban untuk dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah. Perintah berkorban telah disyariatkan oleh Allah kepada kita pada tahun ke 2 hijrah bersamaan dengan perintah solat Eidul Adha dan zakat.

Firman Allah swt yang bermaksud: “Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah.” Al-Kautsar:2. Menurut pendapat yang masyhur, maksud solat pada ayat itu ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban.
Manakala Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut sebagai berikut: “Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah sahaja dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai kesyukuran terhadap apa yang dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya.”

Nabi s.a.w juga telah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi ) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya.” (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim)

Hukum Korban

Hukum berkorban adalah sunnah muakkadah.

Sebahagian ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa berkorban hukumnya wajib bagi orang yang mencukupi nasab zakat. Antara rujukan mereka adalah hadis yang bermaksud:

“Barangsiapa berkelebihan (dalam harta) tetapi tidak meyembelih haiwan korban, janganlah dia mendekati masjidku.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit berbanding Hari Raya Aidil Fitri.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidil Adha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidil Adha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu,kerbau, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hari Raya Aidil Adha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.

Saya SALLEH BIN KALBI, Ahli Parlimen Malaysia, P188 Silam ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha Maaf Zahir dan Batin. Semoga RAKYAT khususnya dikawasan Silam ( Kunak, Lahad Datu dan Tungku ) berbahagia bersama keluarga tercinta dan tersayang. Kepada Rakyat kawasan saya yang kini sedang menunaikan Ibadah Haji saya mendoakan semoga anda berada ditanah suci MEKAH SEBAGAI TETAMU ALLAH SWT mendapat keberkatan,doa dimakbulkan,dirahmati, dilimpahi kekayaan Iman dan takwa dan yang paling penting menjadi tetamu ALLAH SWT dapat melaksanakan Ibadah Haji dengan sempurna, penuh keimanan dan ketakwaan. Semoga mendapat HAJI MABRUR yang mendapat pujian Maha Agung lagi Maha Kaya. Amin.

Marilah kita manfaatkan ibadah Korban ini dengan rasa penuh keinsafan dengan mengamalkan gaya hidup bersederhana dan berbelanja berhemah. Berbelanja berdasarkan kemampuan jangan berbelanja mengikut kehendak hawa nafsu. Keadaan ini akan mengundang kearah keburukan.

Kepada kaum muslimin dan muslimat, marilah kita bersama-sama merapatkan ukhwah dan ikatan silaturrahim dengan menanamkan amalan sifat Kasih sayang dengan mengunjungi Keluarga, Jiran tetangga, Sahabat, Rakan Sekerja dan hubungan sesame manusia tanpa mengenal latarbelakang mahupun agama. Konsep ini penting bagi melestarikan 1Malaysia : Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan gagasan YAB Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan Dato, Seri Mohd Najib bin Tun Abd. Razak, Pengerusi Barisan Nasional Malaysia.

Marilah kita bersama-bersama saya bergerak proaktif membangunkan Parlimen P188 Silam dengan merenung semula sejarah perjalanan sambutan Hari raya Aidil adha supaya kita dapat bergerak lebih pantas ke arah sebuah masyarakat yang rajin berusaha, dinamik, pantas dalam membangunkan kendiri paling rendah peringkat kendiri sendiri, keluarga, sahabat, kelompok kecil, dan masyarakat setempat.

Amalan bersyukur yang di tuntut agama Islam amat penting bagi membangunkan sesebuah negara dengan dihiasi masyarakat yhidup aman,makmur dan selamat. Oleh yang demikian, gagasan 1Malaysia perlu difahami secara meluas agar rakyat dapat memperaktikkan kesinambungan pembangunan modal insan di masa akan datang.

Sempena Hari Raya Aidil adha yang telah ditetapkan pada 27hb / Novenber / 2009 bersamaan hari Jumaat saya Ucapkan selamat Hari raya Aidil adha kepada ;

Y.A.B DATO’ SERI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK

Perdana Menteri Malaysia

Y.A.B TAN SRI MUHYIDDIN BIN YASSIN

Timbalan Perdana Menteri Malaysia

Y.A.B DATUK SERI PANGLIMA HAJI MUSA BIN AMAN

Ketua Menteri Sabah

Y.B.- Y.B.  Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri diseluruh negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Y.B.-Y.B. Menteri-Menteri dan Pembantu-Pembantu Kabinet Persekutuan dan negeri Sabah dan Sarawak,

Pentadbirak Kerajaan Persekutuan dan negeri, masyarakat samada yang tinggal diluar negara mahupun dalam negara.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

MAAF ZAHIR DAN BATIN

 

Sekian, terima kasih

Y.B. TUAN HAJI SALLEH BIN HAJI KALBI,

Ahli Parlimen Malaysia, P188 Silam merangkap

Duta Keamanan PBB

 

Kerajaan Mahu Penjelasan PAS Kebenaran Isu Bai’ah: Jamil Khir

•November 10, 2009 • Tinggalkan Komen

Kerajaan Mahu Penjelasan PAS Kebenaran Isu Bai’ah: Jamil Khir

<!–

By: Ramjit

–>

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) — Kerajaan mahu kepimpinan PAS memberikan penjelasan mengenai dakwaan Bai’ah yang berlaku dalam parti itu yang dilihat tidak berlaku adil kepada golongan wanita.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom berkata ini kerana pihak kerajaan melihat Bai’ah adalah suatu keputusan yang hanya dibuat sebelah pihak tanpa perbincangan dengan pihak wanita.

“Kerajaan mahu melihat bahawa adakah kebenaran ini berlaku di luar sana dan juga ingin mendengar pandangan-pandangan terutamanya daripada pihak Dewan Ulama PAS, dan juga daripada Muslimat PAS, untuk memberikan jawapan kepada pandangan terhadap Bai’ah tersebut.

“Pihak kerajaan melihat Bai’ah memberikan sesuatu keputusan yang dibuat di sebelah pihak tanpa membicarakan, berbincang dengan pihak wanita dan keluarga serta anak-anak mereka bagi mendapatkan penjelasan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat di sini Isnin.

Penjelasan itu terus mendapat perhatian Datuk Taib Azamudden Md. Taib (PAS-Baling) yang bingkas bangun untuk mempertikaikan mengenai isu tersebut yang dianggapnya adalah spekulasi semata-mata.

“Soal Bai’ah tidak pernah diputuskan di mana-mana peringkat dalam PAS, cuma yang ditimbulkan ini adalah spekulasi yang bermotifkan politik. Kami tengah siasat siapa yang timbulkan perkara ini, ini melibatkan soal isteri, soal taklik dan sebagainya,” kata Taib Azamudden.

Baru-baru ini anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dari PAS mengakui wujudnya Bai’ah iaitu sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri masing-masing jika mereka mengkhianati parti.

— BERNAMA

Pembuat Pintu Emas Kaabah Meninggal

•November 9, 2009 • Tinggalkan Komen

Pembuat Pintu Emas Kaabah Meninggal

MEKAH, 8 Nov (Bernama) — Sheikh Ahmad bin Ibrahim Badr, tukang utama yang mereka bentuk pintu emas Kaaba, meninggal dunia pada usia 89 tahun di Mekah Jumaat lepas, demikian harian Arab Saudi berbahasa Inggeris, The Arab News melaporkan pada Ahad.

Ahmad menghasilkan pintu Kaabah menggunakan emas tulen seberat 300 kg atas perintah Raja Khaled pada Oktober 1979.

Kerja-kerja itu dijalankan di sebuah bengkel yang dibina khusus untuk projek berkenaan. Beliau juga memperkemas dan memperindahkan lagi meezab (saluran air di atas Kaabah) dan rangka perak Hajar Aswad.

Beliau mempelajari seni berkenaan daripada bapanya, pereka dan pembina asal pintu berkenaan atas perintah Raja Abdul Aziz pada 1942, lapor akhbar itu.

Ibrahim dan dua saudaranya, Mahmoud dan Ibrahim Badr, mengacu pintu berkenaan dengan emas tulen, mengambil masa setahun menyiapkannya.

Tiang dalam dan meezab, dibuat daripada emas 24-karat seberat 25 kg juga disiapkan dalam tempoh berkenaan.

Ayat al-Quran “Ya Hayy Ya Qayyum” (Wahai yang Maha Hidup, Maha Mendengar) dan perkataan “Allah” dan “Muhammad” diukir pada pintu. Kerja-kerja mereka termasuk rangka perak Hajar Aswad, lapor akhbar itu.

Ahmad dilahirkan di kampung halaman datuk neneknya di permukiman Qashashiya di Mekah pada 1920. Selepas belajar di sekolah al-Falah tempatan beliau menyertai bapanya di bengkel emas dan perak pada usia 15 tahun.

Ahmad telah bekerja di kedai bapanya “Sheikh Ibrahim Badr” di Goldsmiths’ Street sepanjang hidupnya.

Beliau lahir dalam keluarga pertukangan seni yang terkenal dengan kehalusan kerjatangan emas yang ekskuisit, kata akhbar itu.

— BERNAMA