•Oktober 15, 2009 • Tinggalkan Komen

muka depan

Pakej pindaan terbaik

•Oktober 15, 2009 • Tinggalkan Komen

Pakej pindaan terbaik

 najib4

NAJIB meneliti teks ucapan yang akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Umno di pejabatnya, semalam.

Presiden harap usul diterima

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berharap usul pindaan perlembagaan parti yang akan dibahaskan hari ini akan diterima oleh perwakilan kerana ia sudah dikaji dengan begitu mendalam.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi, beliau berkata, cadangan pindaan itu juga sudah dibincang pada peringkat perhubungan dan bahagian dengan maklum balas sudah diterima.

“Kita cuba merumuskan satu pakej terbaik dari segi pindaan perlembagaan dan bagi memenuhi tujuan ini, beberapa pindaan dilakukan. Syarat tak ada, cuma kelayakan minimum, misalnya nak bertanding pada peringkat bahagian, dia cuma perlu tiga tahun saja jadi ahli.

 

“Jika dia bertanding peringkat lebih tinggi dia kena jadi ahli peringkat bahagian satu penggal. Ini termasuk yang dilantik juga. Itu yang paling minimum, tiada lebih dari itu,” katanya sambil menambah ia juga, termasuk bagi jawatan Presiden.

Sebanyak sembilan fasal dan 27 klausa perlembagaan Umno dicadangkan dipinda dan dibahas hari ini, termasuk membenarkan 146,500 perwakilan menentukan kepemimpinan Umno mulai 2011.

Semua 36 fasal dan klausa dipinda itu dibahas dan diundi secara terbuka melalui angkat tangan dalam Perhimpunan Agung Khas Umno hari ini sebelum diluluskan.

Sembilan fasal itu membabitkan tujuh perkara utama yang akan dipinda bagi memberi peluang kepada akar umbi, termasuk generasi muda menentukan kepemimpinan parti dan menjadikan Umno lebih demokratik, telus dan inklusif.

Mengenai mesyuarat khas itu, Najib berkata, MT sudah mendengar laporan Pengerusi Tetap Umno bagi Perhimpunan Agung Khas hari ini untuk membincangkan pindaan perlembagaan parti yang akan dibentangkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, MT juga menerima laporan daripada wakil yang hadir pada Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno semalam.

“Kita dapati perhimpunan ketiga-tiga sayap berjalan lancar dalam suasana sangat positif. Nampaknya tema perhimpunan ketiga-tiga sayap, merapatkan barisan, perpaduan dan untuk menjalankan kerja bagi pengukuhan serta sokongan kepada pindaan perlembagaan dan dasar yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Ditanya reaksi MT terhadap cadangan usul pindaan perlembagaan, beliau berkata, ia sememangnya cadangan MT dengan hujah akan dikemuka dan dibahaskan hari ini.

“Mudah-mudahan cadangan MT ini akan diterima oleh Perhimpunan Agung Khas kali ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sembilan fasal itu membabitkan tujuh perkara utama yang akan dipinda bagi memberi peluang kepada akar umbi, termasuk generasi muda menentukan kepemimpinan parti dan menjadikan Umno lebih demokratik, telus dan inklusif.

“Hari ini (semalam) saya mempengerusikan mesyuarat dengan dihadiri wakil 13 badan perhubungan negeri mengenai usul pindaan perlembagaan sebelum dibentang esok. Sebelum sampai ke peringkat ini, maklum balas kita terima dari cawangan dan bahagian sudah dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan Umno sebanyak tiga kali dan Biro Politik sebelum dibawa ke MT,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

TPM tak tahu Ong hantar surat letak jawatan

•Oktober 15, 2009 • Tinggalkan Komen

TPM tak tahu Ong hantar surat letak jawatan

 

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau tidak tahu sama ada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, ada menghantar surat peletakan jawatan menteri semalam.

“Saya tidak tahu, itu kena tanya Perdana Menteri,” katanya pada majlis sambutan Aidilfitri agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, semalam. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, turut hadir.

Muhyiddin ditanya mengenai khabar angin bahawa Ong ada menghantar surat peletakan jawatannya dalam Kabinet semalam.

 

Sementara itu, Menteri Kesihatan yang juga Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata Kabinet semalam tidak membincangkan kedudukan Ong dalam kerajaan.

Liow berkata, isu Ong akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu hari ini selepas menghadapi undi tidak percaya pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) Sabtu lalu.

Beliau diminta mengulas sama ada Kabinet semalam membincangkan kedudukan Ong dalam kerajaan berikutan keputusan EGM itu.

Pemuda Sabah cadang perhimpunan setiap negeri

•Oktober 15, 2009 • Tinggalkan Komen

Pemuda Sabah cadang perhimpunan setiap negeri

 

Beri peluang perwakilan rasai kehangatan persidangan parti

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno Sabah mencadangkan pucuk pimpinan supaya mengadakan Perhimpunan Agung tahunan parti secara bergilir-gilir di setiap negeri.

Wakilnya, Md Joh Wid, berkata ini bagi memberi peluang kepada perwakilan Umno untuk berkunjung ke setiap negeri dan merasai sendiri kehangatan perhimpunan parti.

“Jika tahun depan Perhimpunan Agung Umno mahu diadakan di Sabah… kami sudah bersedia menganjurkannya. Rakan-rakan boleh merasai sendiri layanan kami di Sabah. Melalui cara ini saya merasakan perwakilan juga berpeluang mengunjungi negeri kami,” katanya membahas ucapan dasar Ketua Pemuda Umno.

 

Dalam pada itu, Md Joh berkata walaupun senario politik di Sabah kelihatan tenang, Pemuda Umno negeri itu sentiasa turun padang membantu rakyat bersama-sama parti komponen Barisan Nasional (BN).

Pemuda Kelantan pula mahu satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengendalikan pilihan raya umum dan pilihan raya kecil khusus untuk menjawab setiap isu pelbagai yang dibangkitkan pembangkang.

Wakilnya, Tuan Aziz Tuan Mat, berkata pasukan khas itu dapat memastikan setiap masalah atau isu dihadapi ketika kempen pilihan raya dapat diatasi sebaik mungkin.

“Saya yakin pasukan khas ini perlu ada dan kita perlu memastikan kudrat Pemuda digunakan sebaik mungkin dalam pilihan raya pada masa depan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Kuala Krai berkata, Pemuda perlu berusaha menarik golongan profesional menyokong parti itu, sekali gus membawa kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

“Misi kita untuk melihat golongan muda tanpa mengira latar belakang menyokong perjuangan kita. Kepemimpinan Pemuda hari ini untuk semua generasi muda. Ini satu pendekatan yang perlu kita gunakan,” katanya.

Wakil Melaka, Zaidi Atan mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pencetus politik wang dalam Umno.

Beliau mendakwa, Anwar menabur berjuta-juta ringgit ke setiap bahagian untuk membeli undi ketika bertanding mencabar Allahyarham Tun Ghafar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden Umno pada 1993.

“Anwar pencetus politik wang dalam Umno… hari ini beliau mahu menghuru-harakan masyarakat Melayu di negara ini,” katanya.

“Saya menyeru semua perwakilan Pemuda supaya bangkit dan menghalang apa saja tindakan Anwar yang cuba membangkitkan masalah di negara ini,” katanya.

Pemuda Pahang pula meminta pengerusi biro, sekretariat dan unit pergerakan itu supaya lebih kerap turun padang bagi melihat keperluan Pemuda akar umbi pada peringkat cawangan dan bahagian.

Wakilnya, Suhaimi Sulong, berkata Pemuda peringkat bawahan juga perlu disuntik dengan sumber kewangan mencukupi bagi memastikan aktiviti pergerakan itu dapat dijalankan seperti dirancang.

“Saya harap orang di atas tengok juga orang yang duduk di bawah ini… tolong tengok entah cukup atau tidak sumber kewangan. Pemimpin dan ahli akar umbi jangan diabaikan kerana mereka penting dan menentukan kedudukan mereka yang ada di atas,” katanya.

Pindaan beri cabaran: PM

•Oktober 14, 2009 • Tinggalkan Komen

Pemimpin perlu pertingkat prestasi elak hilang sokongan ahli

taklimat presiden

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, pindaan perlembagaan Umno akan memberi cabaran kepada pemimpin Umno, termasuk Ahli Majlis Tertinggi (MT) supaya meningkatkan prestasi bagi mengelak mereka dicabar.

Perdana Menteri berkata, pindaan bukan bermakna kepemimpinan akan sentiasa berubah apabila hak memilih diserahkan kepada ahli, sebaliknya pemimpin akan terus bertahan jika mereka mampu memberi kepemimpinan yang baik dan berkesan kepada rakyat.

Beliau berkata, politik wang juga boleh dihapuskan kerana jumlah perwakilan lebih besar serta sukar dipengaruhi, tetapi jika ada percubaan, ia mudah dikesan.

 

Katanya, ia secara tidak langsung dapat mengawal tingkah laku ahli ke arah lebih positif kerana ada kekangan terhadap politik wang, berbanding perwakilan seramai 2,500 orang yang membolehkan wang diedarkan dalam gelap.

“Kita mesti sedar tanggungjawab sebagai pemimpin lebih berat kerana jika kita tak tunjuk prestasi kepemimpinan yang baik, kita akan dicabar dan ini terpulang kepada ahli untuk membuat pilihan.

“Pindaan ini juga dapat menjadikan parti lebih inklusif, memperjelaskan peranan Pemuda, Wanita dan Puteri, selain mempermudahkan proses kemasukan ahli dan penyertaan mereka dalam proses membuat keputusan dalam parti,” katanya selepas Majlis Taklimat Presiden di sini, semalam.

Najib berkata, Umno mesti sanggup melakukan perubahan kepada yang lebih baik terutama dari segi perpaduan, budaya, sikap, pemikiran dan tingkah laku bagi mengimbangi senario landskap politik negara masa kini dan cabaran yang dihadapi Umno pada masa depan.

Beliau berkata, Umno boleh mencapai kejayaan besar jika ahli mengutamakan semangat permuafakatan dan perpaduan seperti yang dibuktikan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, baru-baru ini.

“Bagan Pinang menjadi pilihan raya contoh di mana gerak kerja yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu berkesan dan ini sebagai titik kebangkitan kepada jiwa dan roh semangat ahli parti di seluruh negara.

“Paling penting, ahli Umno perlu menginsafi diri bahawa kita berada pada keadaan genting dan kritikal selepas pilihan raya lalu tetapi perancangan yang baik disertai semangat jitu mampu mengembalikan Umno sebagai jenama boleh diterima rakyat sehingga mencatat kejayaan besar di Bagan Pinang.

“Kita juga mesti sanggup bekerja kuat dengan melaksanakan pelbagai program, termasuk program penerangan dan kebajikan kepada ahli dan rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai maklum balas kepada cadangan pindaan perlembagaan itu di kalangan perwakilan, Najib berkata, setakat ini sambutan sangat baik dan ia akan diputuskan esok.

3 petunjuk KPI sayap Umno

•Oktober 14, 2009 • Tinggalkan Komen

Pastikan matlamat tambah ahli dicapai, bentuk jaringan dengan NGO

tim presiden

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menetapkan tiga Petunjuk Prestasi Utama Politik (KPI) kepada Wanita, Pemuda dan Puteri Umno sebagai cabaran untuk tiga sayap itu membantu memastikan parti kembali menjadi wadah yang memberi harapan baru kepada orang Melayu dan rakyat.

KPI berkenaan adalah menambah ahli baru, mendaftar pengundi baru dan membentuk jaringan dengan pertubuhan bukan kerajaan yang semuanya perlu dicapai dalam tempoh dua tahun.

“Kita sudah tidak ada masa. Gerakan ini mesti bermula dari sekarang,” katanya ketika perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2009, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

 

Sambil melahirkan keyakinan kepemimpinan ketiga-tiga sayap mampu mendepani cabaran, beliau mahu mereka menggarap segala potensi, menggilap kerohanian diri, meningkatkan ilmu, menguasai kemahiran, memanfaatkan kecerdasan minda dan memperkukuhkan lagi kualiti kepemimpinan.

Katanya, ia penting supaya Umno kembali menjadi wadah perjuangan orang Melayu yang memberi harapan kepada segenap lapisan rakyat jelata.

Muhyiddin berkata, ketiga-tiga sayap parti adalah wadah penting untuk melahirkan pemimpin Melayu yang kental, tangkas, berani dan berjiwa besar dalam menggerak panji-panji perjuangan agama, bangsa dan negara.

Pergerakan Wanita, katanya, menjadi penggerak parti yang sentiasa setia dengan perjuangan dan bersedia berada di lapangan pada setiap waktu ketika tenaga dan bakti mereka diperlukan.

Justeru, beliau berharap, lebih ramai pemimpin Wanita terbabit aktif dalam proses membuat keputusan parti, sama ada melalui sayap itu atau Majlis Tertinggi.

“Bagi Pemuda, semangat daya juang yang tinggi dizahirkan pada siri-siri pilihan raya kecil membuktikan jiwa Pemuda Umno masih kuat mendaulatkan perjuangan parti. Puteri Umno pula tetap setia berada di mana jua, meskipun di tengah-tengah cabaran pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda dan Puteri berada di barisan hadapan perjuangan parti dan menjadi cermin kepada citra politik masa depan.

“Generasi muda hari ini adalah generasi yang mengutamakan cetusan akal, bukan letupan emosi. Justeru, tidak ada jalan pintas bagi kita untuk menyantuni generasi muda melainkan dapat meyakinkan mereka dengan asas perjuangan kita secara tuntas dan rasional,” katanya.

Muhyiddin juga mahu Pemuda dan Puteri bangkit sebagai satu wadah muda Melayu yang petah dan tangkas untuk menampilkan citra serta meningkatkan kekentalan perjuangan Umno.

Beliau berkata, ketiga-tiga sayap itu juga mesti mara sebagai satu pasukan yang mantap dan padu untuk memikul amanah dan perjuangan.

“Setialah kepada prinsip, satukanlah hati, bulatkanlah tekad, bergeraklah dalam satu wadah menuju satu matlamat.

“Hindarilah kemilau harta dan permata yang melemahkan daya juang, jauhi diri daripada perebutan kuasa yang membinasakan, jadilah juru bicara hati nurani rakyat yang berkat,” katanya.

Pindaan galak perubahan sikap, etika

•Oktober 14, 2009 • Tinggalkan Komen

Pindaan galak perubahan sikap, etika

Oleh Kamal Ahmad

Proses pertukaran pemimpin mampu mengukuhkan lagi parti

PINDAAN Perlembagaan Umno melalui Perhimpunan Agung Khas kali ini akan membawa perubahan menyeluruh termasuk memaksa pemimpin segenap peringkat parti menukar sikap, pemikiran serta norma nilai kepada set baru dan bersedia menghadapi realiti bahawa ahli kini diberi hak menyingkir jika mereka tidak menunjukkan prestasi khidmat atau kepemimpinan cemerlang secara berterusan.

Perlu insaf, mereka kini memasuki ‘zon bahaya’ yang mana bukan lagi 2,510 perwakilan boleh dipengaruhi untuk mempertahankan seseorang lebih daripada satu penggal (tiga tahun) walaupun prestasi kerja dan peribadi buruk. Sebaliknya, jika pemimpin itu tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti, tiada kewibawaan memimpin, gagal mendampingi akar umbi atau terbabit dengan salah laku, tidak apa lagi yang boleh untuk menghalang tindakan 146,500 perwakilan termasuk 51,000 wakil sayap Pemuda, Wanita dan Puteri menyingkirkan mereka.

Begitu juga pemimpin yang sekian lama dalam parti, tidak perlu gusar kehadiran lebih ramai calon korporat, profesional dan intelektual dalam kepemimpinan di bahagian mahupun Majlis Tertinggi (MT) Umno kelak. Mereka tidak boleh beranggapan kelompok itu akan menenggelamkan populariti mereka sedangkan sebaliknya mampu menyumbang kepelbagaian kepada kekuatan parti.

“Kalau tanya saya, untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pun tidak perlu ada syarat. Jadi, orang kata tidakkah itu akan membuka satu ruang yang agak luas kepada sesiapa saja yang hendak cabar Presiden dan timbalannya.

“Saya kata ‘so what?’ Apa perlu kita takut. Kalau kita kata kita parti demokratik, biarlah sesiapa (pun) nak bertanding,” kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana yakin majoriti perwakilan akan menapis secara jujur untuk menolak calon yang dangkal peribadi atau pemimpin yang gagal melaksana tanggungjawab daripada mengisi kerusi barisan kepemimpinan MT mulai 2011.

“Orang nak tengok sudah berubahkah sikap orang Umno. Saya percaya berikutan pindaan ini orang akan melihat apa saja yang dikaitkan dengan Umno. (Tetapi) persepsi negatifnya secara berperingkat mula kurang kerana mereka melihat kita sudah bersedia walaupun satu pihak mereka kata kedudukan boleh tercabar. Dia kena pastikan dia bekerja, dilihat bekerja dan memang menyumbang. Kalau tidak, peluang dia pertahankan jawatan agak sukar. Itu signifikannya,” katanya.

Justeru, beliau membidas persepsi kalangan pemimpin yang selalu mahu mengekalkan status quo dan berpendapat tindakan menghapus sistem kuota dan membuka lebih 30 peratus ruang perwakilan kepada golongan muda akan mengancam mereka. Tetapi Muhyiddin menegaskan, jika ada kelompok pemimpin itu berfikiran penghapusan sistem kuota dan penyertaan lebih golongan muda serta korporat akan merugikan sehingga mereka mencari jalan memanipulasi untuk mempertahankan status quo maka kaedah memberi hak perwakilan yang lebih ramai tidak lama lagi akan menutup atau menyekat tindakan mereka.

Menggunakan istilah ‘dinosaur dan jurasik’ yang bermaksud – ia dijauhi ketika hidup dan sekadar menjadi bahan sejarah purba selepas pupus, beliau berkata, status seperti itu mesti dihindarkan daripada terpalit apabila parti tidak mampu melakukan perubahan drastik, berani, bijak dan strategik sekarang ini untuk menempuh arus perubahan landskap politik negara mahupun global.

Memang benar, memerangi sifat buruk dalam diri sendiri adalah jihad yang lebih besar. Untuk memudahkan proses membawa perubahan total ini, Umno akan melaksanakan program mendidik semula kepada ahli dan pemimpinnya di peringkat negeri mahupun bahagian supaya mereka berilmu, bermaklumat serta berkeupayaan membuat keputusan yang tepat untuk parti dan orang Melayu.

“Umno akan membentangkan pelan melaksanakan program pembelajaran semula di peringkat negeri dan bahagian bagi melakarkan dengan lebih jelas mengenai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menghadapi cabaran terutama Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Inilah yang akan berlaku dalam masa terdekat ini dan nampak Umno tidak akan tidur lagi apabila di setiap peringkat akan terbabit dalam program muhasabah, penambahbaikan serta pembaharuan,” katanya.

Timbalan Presiden itu turut menafikan pindaan itu akan mencetuskan lebih banyak politiking. Ini kerana Umno adalah parti politik tetapi kesedaran pemimpin mengenai tanggungjawab besar yang dipikul akan mendorong mereka perlu membuktikan prestasi jika tidak mahu disingkir dan sebaliknya mengurangkan politiking.

Selepas pindaan itu, MT Umno perlu menyusun beberapa perkara strategik berhubung tindakan susulan dan sokongan untuk menjayakan matlamat pindaan kali ini. Antaranya, pasti banyak input daripada program ‘cuci otak’ dan motivasi di Janda Baik, awal Oktober lalu, yang boleh dicerna dan diperhalusi menjadi panduan untuk meminda pelbagai perkara khususnya Peraturan Persidangan di semua peringkat serta Tataetika Ahli Umno. Langkah ini penting disegerakan supaya pindaan berkenaan benar-benar membawa maksud untuk melaksanakan proses pendemokrasian kepemimpinan dan memulihkan demokrasi dalam parti.

Apabila perlembagaan menjadi lebih kukuh dan berkesan, Umno juga perlu memiliki jentera pentadbiran lebih cekap di ibu pejabat, bahagian dan cawangan yang akan memikul peranan lebih besar. Sebagai tonggak BN dan kerajaan, Umno perlu menerapkan unsur ‘governance’ dalam struktur parti. Kaedah itu antara lain berpaksi kepada ketelusan, pemikiran serius dan pemikiran politik. Ketika ini contohnya, mutu pembahas dalam persidangan diukur bukan dari segi isi perbahasan tetapi lawak jenakanya.

Keadaan ini akibat Umno memiliki jentera yang baik tetapi tidak memperkasakan tradisi ilmunya. Justeru, melalui perubahan ini diharap Umno akan melahirkan ramai pemimpin yang mampu membawa pemikiran baru. Penyertaan lebih ramai golongan korporat, profesional dan intelek ke dalam parti akan mencetuskan gabungan barisan yang lebih ampuh, sekali gus parti memiliki kelebihan yang pelbagai di semua peringkat.

Umno juga perlu menyedari kepentingan memiliki lebih ramai intelektual dan profesional untuk berkhidmat kepada parti. Mereka menasihati MT dalam semua urusan berkaitan survival Melayu (melalui politik, sosioekonomi dan geopolitik), kepentingan negara dan strategik serta cara memperkasa teras politik Umno untuk menyaingi persekitarannya.

Pemulihan Umno detik perkukuh BN

•Oktober 14, 2009 • Tinggalkan Komen

Pemulihan Umno detik perkukuh BN

Bersama Mior Kamarul Shahid

Parti perlu tegas laksana transformasi, pindaan perlembagaan

PERHIMPUNAN Agung Umno, diikuti dengan Perhimpunan Khas atau Luar Biasanya, minggu depan akan menentukan hala tuju parti itu selepas menempuh pelbagai pancaroba sejak ditubuhkan pada 1946. Ada yang mengatakan Umno memerlukan satu transformasi menyeluruh untuk tegak semula selepas menghadapi pelbagai kesan perubahan politik dan ekonomi dunia, perubahan sikap dan pemikiran rakyat, tekanan kemajuan teknologi dan paling penting kesan negatif terhadap nilai hidup moden, khasnya orang Melayu. Tugas untuk membetulkan semula Umno ini memerlukan keberanian politik yang amat tinggi kerana dalam Umno sebelum ini selalu berlaku ‘rumah siap, pahat terus berbunyi’. Disebabkan keadaan yang wujud hari ini berlaku ketika Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak memegang tampuk kepemimpinan Umno, bermakna seluruh beban untuk melakukan perubahan ini terletak di bahunya. Beliau tidak boleh lagi menoleh ke belakang kerana pilihannya hanyalah untuk bergerak ke depan. Di belakang adalah sejarah dan di depan adalah harapan bangsa. Jika beliau berani melakukannya dengan pendekatan yang diterima rakyat, Umno pasti bangkit semula, malah lebih perkasa. Umno tidak boleh lagi dibiarkan bergelumang dalam keadaan yang tidak menentu, jumud dan tidak berani membuat perubahan. Bagi orang Melayu, Umno tidak boleh dibiarkan terus lemas.

Gerak kerja untuk memulihkan Umno sudah berjalan agak lama khasnya sejak Najib mengambil alih tampuk kepemimpinan. Perdebatan dan perbahasan mengenai cara mana Umno perlu dipulihkan, bagaimana budaya dan sikap ahli Umno perlu diperbaiki dan sebagainya sudah pun berjalan di semua peringkat terutama pada mesyuarat tahunan cawangan. Kira-kira 17,000 ketua cawangan Umno menyedari gerak kerja yang dilakukan oleh Umno Pusat untuk memperbaiki Umno dan dikongsi dengan seluruh ahli akar umbi. Gerak kerja ini disusuli pula di peringkat bahagian bagi mendapatkan maklum balas mengenai perubahan yang perlu dilakukan dalam Umno.

Dalam proses perubahan ini, Umno terpaksa juga bergelut dengan masalah disiplin ahli. Yang bersalah dikenakan tindakan mengikut perlembagaan parti. Pada masa yang sama, mereka yang dikenal pasti mampu untuk meneruskan perjuangan bangsa sudah pun mula diterapkan ke dalam organisasi Umno. Mereka yang berasakan sudah terlalu lama dalam parti pula seorang demi seorang melepaskan kedudukan masing-masing untuk memberi peluang kepada muka baru menunjukkan bakat dan semangat mereka.

Umno perlu bergerak selaras dengan proses kematangan dan pemikiran rakyat. Disebabkan rakyat adalah sebahagian daripada ejen dan penggerak pembangunan, mereka mengenali pemimpin Umno yang jujur dan berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Persepsi bahawa pemimpin Umno berjuang untuk kepentingan rakyat perlu sentiasa wujud. Kepercayaan rakyat tidak seharusnya dimusnah hanya disebabkan oleh perbuatan segelintir mereka yang berkepentingan.

Proses memperbaiki Umno memerlukan kebijaksanaan. Ia perlu dilakukan secara menyeluruh bermula dengan melihat kedudukan organisasi itu terlebih dulu. Hari ini, Umno sudah bergerak ke tahap meminda perlembagaan parti kerana ia adalah nadi kepada apa juga keputusan dan tindakan parti. Umno memerlukan satu ‘undang-undang’ untuk setiap ahlinya seperti umat Islam mempunyai hukum dan peraturan yang membolehkan semua umatnya patuh kepada suruhan dan hukum agama. Umno juga memerlukan peraturan yang mantap dan tidak boleh dipersoalkan. Atas dasar inilah, peranan yang dimainkan jawatankuasa induk Pindaan Perlembagaan yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein begitu penting. Syor, perakuan, cadangan perubahan dan setiap perkara yang dikemukakan oleh jawatankuasa ini akan diperdebatkan oleh perwakilan nanti secara rasional dan ikhlas. Sekiranya melihat ada kelemahan, perwakilan tidak sepatutnya berasa gusar untuk melontarkan pandangan. Biarlah siapa juga terguris hati ketika membahaskan cadangan pindaan ini asalkan bangsa Melayu dapat menerima Umno dengan pemahaman yang baru dalam konteks semasa. Umno hari ini tidak boleh lagi disamakan dengan Umno 1946 kerana masa sudah berubah.

Draf cadangan pindaan perlembagaan sudah sedia untuk dibentangkan kepada perhimpunan agung khas selepas dibincang di peringkat jawatankuasa pengurusan parti dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Tertinggi (MT) serta Biro Politik MT dipengerusikan sendiri oleh Najib.

Hari ini, rata-rata rakyat, khasnya orang Melayu ingin melihat Umno melakukan perubahan drastik bermula dengan proses pemilihan pemimpin yang selama ini bertali arus menimbulkan perbalahan dan perpecahan. Berpandukan kepada formula baru yang dicadangkan, pemimpin Umno di peringkat Pusat akan ditentukan oleh hampir 150,000 ahli, bukan lagi kira-kira 2,500 ahli yang dipilih ke Perhimpunan Agung Umno setiap tiga tahun sekali. Satu lagi cadangan yang dianggap menarik ialah penghapusan sistem kuota yang boleh dianggap bahawa Umno berusaha untuk menjadi sebuah parti bersikap terbuka. Ini bermakna, sesiapa saja yang layak boleh bertanding sebarang jawatan dari peringkat cawangan hinggalah ke jawatan tertinggi parti asalkan mereka memenuhi syarat mudah yang ditetapkan. Kita tunggu, minggu depan.

RUMAH TERBUKA KAWASAN TUNGKU

•Oktober 11, 2009 • Tinggalkan Komen

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH DAN SALAM 1 MALAYSIA, 1 SILAM

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 2009 ini, masih lagi meriah dengan adanya usaha dan inisiatif daripada pejabat kecil Tungku. Usaha seperti ini harus menerima pujian dan menjadi contoh kepada daerah-daerah lain yang dapat meletakkan kepentingan 1 Tungku dan 1Silam sebagai matlamat utama demi perpaduan pelbagai kaum dan ethnik. Sudah tiba masanya kepentingan rakyat didahulukan bagi mencapai prestasi gemilang dalam aspek perpaduan kepimpinan peringkat teringgi sehingga ke peringkat bawahan, peningkatan pembangunan sesebuah kawasan, penyaluran projek secara drastik dan baik dan lain-lain lagi.

Syabas dan tahniah kepada Pejabat Daerah Kecil Tungku yang meletakkan visi, misi dan objektif sebagai teras utama dalam membangunkan kawasan ini. Saya yakin dan percaya dengan kehadiran Yang Berhormat Tuan Haji Salleh Bin Haji Kalbi Ahli Parlimen P188 Silam merangkap Duta Keamanan PBB (UPF) dan Yang Berhormat Ustaz Suhaili Bin Haji Said ADUN N49 Tungku akan dapat merapatkan ukhwah dan silaturrahim yang baik. Setiap program kerajaan perlu melibatkan kedua-dua kepimpinan kawasan Parlimen Silam dan mana-mana kawasan DUN bagi memperlihatkan kepada RAKYAT hubungan baik pemimpin adalah baik. Kita perlu mengelakkan isu yang memecahbelahkan kepimpinan antara kepimpinan Parlimen dan ADUN. Jika pihak kakitangan kerajaan dapat melaksanakan program bersama samada hadir bersama merasmi atau  diadakan perasmian pembukaan dan penutup adalah cukup baik. Satu perkara lagi kita perlu mengikuti PROTOKOL majlis tentang kedudukan setiap pemimpin. Saya memuji pentadbiran Kunak yang memahami PROTOKOL bagi meletakkan kedudukan antara Parlimen dan ADUN.

Kita perlu belajar dan bertanya agar sistem protokal tidak disalahgunakan dan salah pakai.

 





ALBUM UKM-PROPER P188 SILAM

•Oktober 8, 2009 • Tinggalkan Komen

DSCN1366DSCN1246DSCN1254DSCN1256DSCN1265DSCN1266DSCN1273DSCN1282DSCN1344