Pemuda Sabah cadang perhimpunan setiap negeri

Pemuda Sabah cadang perhimpunan setiap negeri

 

Beri peluang perwakilan rasai kehangatan persidangan parti

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno Sabah mencadangkan pucuk pimpinan supaya mengadakan Perhimpunan Agung tahunan parti secara bergilir-gilir di setiap negeri.

Wakilnya, Md Joh Wid, berkata ini bagi memberi peluang kepada perwakilan Umno untuk berkunjung ke setiap negeri dan merasai sendiri kehangatan perhimpunan parti.

“Jika tahun depan Perhimpunan Agung Umno mahu diadakan di Sabah… kami sudah bersedia menganjurkannya. Rakan-rakan boleh merasai sendiri layanan kami di Sabah. Melalui cara ini saya merasakan perwakilan juga berpeluang mengunjungi negeri kami,” katanya membahas ucapan dasar Ketua Pemuda Umno.

 

Dalam pada itu, Md Joh berkata walaupun senario politik di Sabah kelihatan tenang, Pemuda Umno negeri itu sentiasa turun padang membantu rakyat bersama-sama parti komponen Barisan Nasional (BN).

Pemuda Kelantan pula mahu satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengendalikan pilihan raya umum dan pilihan raya kecil khusus untuk menjawab setiap isu pelbagai yang dibangkitkan pembangkang.

Wakilnya, Tuan Aziz Tuan Mat, berkata pasukan khas itu dapat memastikan setiap masalah atau isu dihadapi ketika kempen pilihan raya dapat diatasi sebaik mungkin.

“Saya yakin pasukan khas ini perlu ada dan kita perlu memastikan kudrat Pemuda digunakan sebaik mungkin dalam pilihan raya pada masa depan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Kuala Krai berkata, Pemuda perlu berusaha menarik golongan profesional menyokong parti itu, sekali gus membawa kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

“Misi kita untuk melihat golongan muda tanpa mengira latar belakang menyokong perjuangan kita. Kepemimpinan Pemuda hari ini untuk semua generasi muda. Ini satu pendekatan yang perlu kita gunakan,” katanya.

Wakil Melaka, Zaidi Atan mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pencetus politik wang dalam Umno.

Beliau mendakwa, Anwar menabur berjuta-juta ringgit ke setiap bahagian untuk membeli undi ketika bertanding mencabar Allahyarham Tun Ghafar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden Umno pada 1993.

“Anwar pencetus politik wang dalam Umno… hari ini beliau mahu menghuru-harakan masyarakat Melayu di negara ini,” katanya.

“Saya menyeru semua perwakilan Pemuda supaya bangkit dan menghalang apa saja tindakan Anwar yang cuba membangkitkan masalah di negara ini,” katanya.

Pemuda Pahang pula meminta pengerusi biro, sekretariat dan unit pergerakan itu supaya lebih kerap turun padang bagi melihat keperluan Pemuda akar umbi pada peringkat cawangan dan bahagian.

Wakilnya, Suhaimi Sulong, berkata Pemuda peringkat bawahan juga perlu disuntik dengan sumber kewangan mencukupi bagi memastikan aktiviti pergerakan itu dapat dijalankan seperti dirancang.

“Saya harap orang di atas tengok juga orang yang duduk di bawah ini… tolong tengok entah cukup atau tidak sumber kewangan. Pemimpin dan ahli akar umbi jangan diabaikan kerana mereka penting dan menentukan kedudukan mereka yang ada di atas,” katanya.

~ oleh silamgemilang di Oktober 15, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: