Pindaan galak perubahan sikap, etika

Pindaan galak perubahan sikap, etika

Oleh Kamal Ahmad

Proses pertukaran pemimpin mampu mengukuhkan lagi parti

PINDAAN Perlembagaan Umno melalui Perhimpunan Agung Khas kali ini akan membawa perubahan menyeluruh termasuk memaksa pemimpin segenap peringkat parti menukar sikap, pemikiran serta norma nilai kepada set baru dan bersedia menghadapi realiti bahawa ahli kini diberi hak menyingkir jika mereka tidak menunjukkan prestasi khidmat atau kepemimpinan cemerlang secara berterusan.

Perlu insaf, mereka kini memasuki ‘zon bahaya’ yang mana bukan lagi 2,510 perwakilan boleh dipengaruhi untuk mempertahankan seseorang lebih daripada satu penggal (tiga tahun) walaupun prestasi kerja dan peribadi buruk. Sebaliknya, jika pemimpin itu tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti, tiada kewibawaan memimpin, gagal mendampingi akar umbi atau terbabit dengan salah laku, tidak apa lagi yang boleh untuk menghalang tindakan 146,500 perwakilan termasuk 51,000 wakil sayap Pemuda, Wanita dan Puteri menyingkirkan mereka.

Begitu juga pemimpin yang sekian lama dalam parti, tidak perlu gusar kehadiran lebih ramai calon korporat, profesional dan intelektual dalam kepemimpinan di bahagian mahupun Majlis Tertinggi (MT) Umno kelak. Mereka tidak boleh beranggapan kelompok itu akan menenggelamkan populariti mereka sedangkan sebaliknya mampu menyumbang kepelbagaian kepada kekuatan parti.

“Kalau tanya saya, untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pun tidak perlu ada syarat. Jadi, orang kata tidakkah itu akan membuka satu ruang yang agak luas kepada sesiapa saja yang hendak cabar Presiden dan timbalannya.

“Saya kata ‘so what?’ Apa perlu kita takut. Kalau kita kata kita parti demokratik, biarlah sesiapa (pun) nak bertanding,” kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana yakin majoriti perwakilan akan menapis secara jujur untuk menolak calon yang dangkal peribadi atau pemimpin yang gagal melaksana tanggungjawab daripada mengisi kerusi barisan kepemimpinan MT mulai 2011.

“Orang nak tengok sudah berubahkah sikap orang Umno. Saya percaya berikutan pindaan ini orang akan melihat apa saja yang dikaitkan dengan Umno. (Tetapi) persepsi negatifnya secara berperingkat mula kurang kerana mereka melihat kita sudah bersedia walaupun satu pihak mereka kata kedudukan boleh tercabar. Dia kena pastikan dia bekerja, dilihat bekerja dan memang menyumbang. Kalau tidak, peluang dia pertahankan jawatan agak sukar. Itu signifikannya,” katanya.

Justeru, beliau membidas persepsi kalangan pemimpin yang selalu mahu mengekalkan status quo dan berpendapat tindakan menghapus sistem kuota dan membuka lebih 30 peratus ruang perwakilan kepada golongan muda akan mengancam mereka. Tetapi Muhyiddin menegaskan, jika ada kelompok pemimpin itu berfikiran penghapusan sistem kuota dan penyertaan lebih golongan muda serta korporat akan merugikan sehingga mereka mencari jalan memanipulasi untuk mempertahankan status quo maka kaedah memberi hak perwakilan yang lebih ramai tidak lama lagi akan menutup atau menyekat tindakan mereka.

Menggunakan istilah ‘dinosaur dan jurasik’ yang bermaksud – ia dijauhi ketika hidup dan sekadar menjadi bahan sejarah purba selepas pupus, beliau berkata, status seperti itu mesti dihindarkan daripada terpalit apabila parti tidak mampu melakukan perubahan drastik, berani, bijak dan strategik sekarang ini untuk menempuh arus perubahan landskap politik negara mahupun global.

Memang benar, memerangi sifat buruk dalam diri sendiri adalah jihad yang lebih besar. Untuk memudahkan proses membawa perubahan total ini, Umno akan melaksanakan program mendidik semula kepada ahli dan pemimpinnya di peringkat negeri mahupun bahagian supaya mereka berilmu, bermaklumat serta berkeupayaan membuat keputusan yang tepat untuk parti dan orang Melayu.

“Umno akan membentangkan pelan melaksanakan program pembelajaran semula di peringkat negeri dan bahagian bagi melakarkan dengan lebih jelas mengenai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menghadapi cabaran terutama Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Inilah yang akan berlaku dalam masa terdekat ini dan nampak Umno tidak akan tidur lagi apabila di setiap peringkat akan terbabit dalam program muhasabah, penambahbaikan serta pembaharuan,” katanya.

Timbalan Presiden itu turut menafikan pindaan itu akan mencetuskan lebih banyak politiking. Ini kerana Umno adalah parti politik tetapi kesedaran pemimpin mengenai tanggungjawab besar yang dipikul akan mendorong mereka perlu membuktikan prestasi jika tidak mahu disingkir dan sebaliknya mengurangkan politiking.

Selepas pindaan itu, MT Umno perlu menyusun beberapa perkara strategik berhubung tindakan susulan dan sokongan untuk menjayakan matlamat pindaan kali ini. Antaranya, pasti banyak input daripada program ‘cuci otak’ dan motivasi di Janda Baik, awal Oktober lalu, yang boleh dicerna dan diperhalusi menjadi panduan untuk meminda pelbagai perkara khususnya Peraturan Persidangan di semua peringkat serta Tataetika Ahli Umno. Langkah ini penting disegerakan supaya pindaan berkenaan benar-benar membawa maksud untuk melaksanakan proses pendemokrasian kepemimpinan dan memulihkan demokrasi dalam parti.

Apabila perlembagaan menjadi lebih kukuh dan berkesan, Umno juga perlu memiliki jentera pentadbiran lebih cekap di ibu pejabat, bahagian dan cawangan yang akan memikul peranan lebih besar. Sebagai tonggak BN dan kerajaan, Umno perlu menerapkan unsur ‘governance’ dalam struktur parti. Kaedah itu antara lain berpaksi kepada ketelusan, pemikiran serius dan pemikiran politik. Ketika ini contohnya, mutu pembahas dalam persidangan diukur bukan dari segi isi perbahasan tetapi lawak jenakanya.

Keadaan ini akibat Umno memiliki jentera yang baik tetapi tidak memperkasakan tradisi ilmunya. Justeru, melalui perubahan ini diharap Umno akan melahirkan ramai pemimpin yang mampu membawa pemikiran baru. Penyertaan lebih ramai golongan korporat, profesional dan intelek ke dalam parti akan mencetuskan gabungan barisan yang lebih ampuh, sekali gus parti memiliki kelebihan yang pelbagai di semua peringkat.

Umno juga perlu menyedari kepentingan memiliki lebih ramai intelektual dan profesional untuk berkhidmat kepada parti. Mereka menasihati MT dalam semua urusan berkaitan survival Melayu (melalui politik, sosioekonomi dan geopolitik), kepentingan negara dan strategik serta cara memperkasa teras politik Umno untuk menyaingi persekitarannya.

~ oleh silamgemilang di Oktober 14, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: