Penjawat Awam Perlu Tetapkan Pemikiran Beri Tumpuan Laksana NKRA – Najib

Penjawat Awam Perlu Tetapkan Pemikiran Beri Tumpuan Laksana NKRA – Najib PDF Print E-mail

PUTRAJAYA, 3 Ogos (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mahu anggota pentadbiran dan penjawat awam menetapkan pemikiran bagi memberi tumpuan terhadap enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang telah diumumkan baru-baru ini agar dapat dilaksanakan dengan penuh komitmen dan kesungguhan.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan dua tujuan utama dapat dicapai iaitu memenuhi hasrat dan jangkaan rakyat serta dapat melihat transformasi besar terhadap negara.

“Sekarang ini, kita dah masuk dalam “action mode”, dan bukan lagi tentang matlamat atau sasaran tetapi kaedah tindakan iaitu apa yang patut dilakukan,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini Isnin.

Isnin lalu, Najib mengumumkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, dan memerangi rasuah.

Bidang-bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Najib berkata enam bidang keberhasilan utama negara telah dikenalpasti dan setiap bidang itu mempunyai KPI yang merupakan satu komitmen anggota pentadbiran dan penjawat awam untuk bersama-sama dalam satu pasukan bagi memenuhi apa yang telah ditentukan.

“Ini berkait rapat dengan kebertanggungjawaban atau akauntabiliti yang bererti kita sanggup meletakkan kepentingan kita malah kita sanggup dikritik atau dihukum jika kita gagal untuk mencapai sasaran utama yang telah kita tetapkan itu,” katanya.

Katanya kerajaan berasakan amat penting meletakkan bidang keberhasilan utama dan juga sasaran yang perlu dicapai dalam jangka waktu tertentu kerana setiap bidang berkait rapat dengan citarasa dan jangkaan rakyat.

“Sehubungan ini, saya ingin melahirkan rasa terima kasih saya dan apresiasi saya yang amat tinggi bukan sahaja di kalangan anggota pentadbiran tetapi penjawat awam, daripada KSN (Ketua Setiausaha Negara) sampailah kepada pegawai-pegawai tertinggi kerajaan yang amat komited untuk menjayakan bidang keberhasilan utama negara.

“Ini adalah satu petanda baik apabila kita amat komited dengan semangat kebersamaan ini. Saya percaya ada kemungkinan besar apa yang diharapkan oleh kerajaan dan apa yang menjadi jangkaan rakyat itu, ada harapan besar untuk dicapai oleh kita,” katanya.

Najib berkata tujuan beliau mengisytiharkan kaedah KPI akan menjadi piawaian kepada kaedah pentadbiran kerajaan kerana percaya cara seperti itu merupakan radas imbangan kerja yang amat berkesan.

“Saya percaya bukan saja kita dapat memenuhi jangkaan rakyat tetapi dalam usaha kita untuk membangunkan negara, saya dapat simpulkan bahawa kita ingin melakukan bukan sahaja perubahan tetapi transformasi terhadap negara,” katanya.

Katanya transformasi akan hanya dapat dicapai jika berdasarkan kepada pencapaian berasaskan kepimpinan.

“Ini adalah kerana penilaian yang paling bermakna sekali ialah pencapaian, bukan dari segi slogan, retorik, pidato yang sangat bermutu tetapi semuanya mengenai pencapaian.

“Jika kita boleh menentukan pencapaian kita itu merupakan pencapaian yang amat bermakna, amat berkesan, saya yakin dan percaya apa yang kita hasratkan iaitu transformasi besar negara kita sama ada nak jadi negara maju, atau sebagai sebuah negara yang mempunyai ekonomi berteraskan inovasi, maklumat, atau model berpendapatan tinggi, kita tak dapat lari daripada pencapaian,” katanya.

Sumber : Bernama

~ oleh silamgemilang di Ogos 4, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: