BN jadikan Manek Urai model pembangunan Kelantan

BN jadikan Manek Urai model pembangunan Kelantan

KOTA BAHARU: Barisan Nasional (BN) akan menjadikan modul pembangunan yang akan dilaksanakan di Manek Urai sebagai model bagi pembangunan berterusan di Kelantan walaupun parti itu kalah dalam pilihan raya kecil kawasan itu, Selasa lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata langkah itu menunjukkan Umno dan BN ikhlas dalam melaksanakan program pembangunan walaupun parti itu tewas dalam pilihan raya.

Katanya, kerajaan BN yang ditunjangi Umno akan terus melaksanakan projek-projek menerusi slogan mesra rakyat dan cakna rakyat.
“Kita (BN) akan menterjemahkan modul pembangunan yang dilaksanakan di kawasan pilihan raya kecil Manek Urai sebagai model pembangunan berterusan di Kelantan,” katanyanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat dengan ketua-ketua Jabatan Persekutuan di Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) di sini, hari ini.

Mustapa berkata, kerajaan BN tidak mahu rakyat menjadi mangsa politik kerana kegagalannya dalam pilihan raya dan sebab itu ia terus melaksanakan program pembangunan untuk rakyat walaupun tewas dalam pilihan raya.

Katanya, Kerajaan Pusat juga akan mengurangkan karenah birokrasi dengan mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira parti dan ideologi politik.

Katanya, hasil kajian di peringkat akar umbi mendapati kira-kira 700 rakyat di kawasan Manek Urai yang berada di bawah kategori miskin tegar dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang perlu diberi bantuan, berbanding sebelum ini hanya 500 keluarga sahaja.

“Untuk tujuan itu, Kerajaan Pusat menyediakan RM2 juta untuk membiayai program pembangunan di bawah peruntukan itu, termasuk membaiki rumah, menurap jalan dan menyediakan kemudahan asas lain,” katanya.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, kerajaan bercadang menyediakan peruntukan RM3,000 setiap keluarga untuk membaiki rumah selain RM30,000 untuk membina rumah baru.

“Ini bermakna walaupun kita (BN) kalah dalam pilihan raya lalu, tetapi agenda pembangunan akan tetap diteruskan seperti yang akan dilakukan di Manek Urai,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata isu tuntutan royalti minyak oleh Kelantan terhadap Kerajaan Pusat sudah diserahkan kepada pihak lebih berwibawa untuk menyelesaikannya.

Mustapa berkata, beliau tidak dapat menjelaskan perkembangan terbaru mengenai tuntutan isu itu kerana ia sudah diserahkan kepada pihak yang berkenaan.

Katanya, isu tuntutan kerajaan negeri itu kini di peringkat rundingan dan kajian dari segi undang-undang dan peraturan mengikut Akta Pembangunan Petroleum (PDA) dan Perjanjian Konsesi oleh Petronas.

“Pendirian kerajaan (Pusat) tidak berubah. Petronas sedang menyediakan draf kajian. Terserah kepada pihak yang lebih berwibawa mengenai undang-undang dan mengikut peruntukan undang-undang dan perjanjian konsesi,” katanya.

Beliau tidak mahu isu tuntutan royalti oleh kerajaan negeri itu dipolitikkan selagi ia belum diputuskan oleh pihak berwajib atau berwibawa membuat kajian dan menyelesaikannya. – Bernama

~ oleh silamgemilang di Julai 19, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: