Syor Kerajaan Perpaduan Boleh Dianggap Amaran Dari PAS

 

<!–

By: Ramjit

–>

Oleh Noor Hayati Muda

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) — Bagi yang mengikuti perkembangan isu berkaitan kerajaan perpaduan, kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang minggu lalu semasa mengulas keputusan pakatan pembangkang menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan itu barangkali bukan sesuatu yang memeranjatkan.

Malah sesetengah daripada mereka mungkin telahpun menduga pemimpin tertinggi PAS itu akan akur dengan bantahan keras daripada dua rakan sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), selain tentangan sekumpulan kecil pemimpin PAS sendiri.

Abdul Hadi ketika memberikan reaksi mengenai penolakan cadangan itu mendakwa ideanya mengenai kerajaan perpaduan itu disalah erti dan dipermainkan oleh Umno bagi merenggangkan hubungan parti itu dengan lain-lain parti dalam pakatan pembangkang.

Mungkin ramai juga yang mengamati bahawa ini bukan kali pertama anggota pakatan pembangkang itu menjadi bagaikan ‘harimau tidak bertaring’ sekalipun dalam isu-isu yang sebenarnya bertentangan dengan ideologi PAS.

Misalnya pada November lalu, pucuk pimpinan parti bertindak mengetepikan dahulu cadangan PAS Selangor agar penjualan arak diharamkan di negeri itu apabila dua rakan sekutunya tidak bersetuju.

PAS juga mengambil sikap berdiam diri apabila salah seorang anggota jawatankuasa kerajaan negeri Selangor dikaitkan dengan isu moral.

Tindakan PAS yang dilihat banyak mengalah dan berkompromi dalam isu-isu yang pada suatu ketika begitu hebat diperjuangkan, mewujudkan persepsi bahawa parti itu hanya menumpang tuah DAP dan PKR.

Oleh itu apabila pada muktamar parti baru-baru ini Abdul Hadi dengan lantang menegaskan antara lain PAS terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak, ia dilihat sebagai amaran kepada pakatan bahawa PAS tidak boleh diambil mudah.

Pada muktamar itu juga PAS digesa agar memainkan peranan sebagai pemimpin dalam pakatan pembangkang, malah ada yang menyarankan jawatan Perdana Menteri dijawat pemimpin PAS jika pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-13.

Hairannya mengapa dalam masa tidak sampai tiga minggu selepas muktamar berakhir PAS tunduk dengan kehendak DAP dan PKR, seolah-oleh mengesahkan bahawa mereka sememangnya sekadar menumpang kejayaan dua sekutunya itu.

Naib Presidennya Datuk Mahfuz Omar ketika diaju soalan itu menafikan PAS sekadar ‘pak turut’ dalam pakatan pembangkang.

“Sebenarnya suatu benda yang tidak betul bahawa kami ini takut kepada pihak-pihak yang lain, sedangkan kerjasama yang dibuat ini adalah gagasan yang diterokai PAS sendiri, bagaimana kesediaan PAS untuk menghulur tangan kepada Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan bekas (anggota) Umno adalah suatu perkara yang tidak dapat dibayangkan oleh orang ramai.

“Kami juga berjaya meruntuhkan tembok yang memisahkan kami dengan DAP. Oleh itu tak timbul kami ini menjadi pengikut kepada satu pihak yang lain kerana kami yang membawa gagasan (kerjasama pembangkang) itu,” katanya.

Pemerhati politik Prof Madya Dr Ghazali Mahyuddin pula berpandangan PAS hanya menurut suara majoriti dalam pakatan pembangkang, yang jelas tidak senang dengan gagasan kerajaan perpaduan itu.

“Bila ada pakatan kenalah ikut suara ramai, tak boleh sendiri-sendiri.

Malah daripada segi persahabatan, tindakan PAS juga tidak kena kerana tidak membincangkan terlebih dahulu dengan rakan sekutu,” kata pensyarah Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Pensyarah dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun, Terengganu, Asri Salleh pula berpendapat PAS sebenarnya menguji kedudukan mereka dalam pakatan.

“Saya beranggapan ini strategi politik mereka. PAS melalui Abdul Hadi secara tidak langsung memberitahu Pakatan Rakyat bahawa PAS adalah parti dominan dalam pakatan, sebab pakatan itu bergantung kepada PAS.

“PAS tidak mempunyai masalah besar untuk berbincang dengan UMNO, tapi bolehkah DAP atau PKR berbuat perkara yang sama? Jawapannya tidak, dan harus diingat di kebanyakan negeri Umno menang kerusi paling banyak berbanding komponen lain dalam Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata PAS mungkin mempunyai kerusi Parlimen paling sedikit iaitu 23 berbanding dua rakannya (DAP 28 kerusi, PKR 30), tetapi daripada segi kedudukan di beberapa negeri, PAS yang memegang kunci.

“Di Selangor, tanpa PAS kerajaan pakatan akan bubar, dulu di Perak macam itu juga. Malah sekarang pun, kalau PAS kembali berbincang dengan UMNO, pembangkang terpaksa gugurkan hasrat mereka untuk kembali berkuasa di Perak,” katanya.

Asri juga berpandangan PAS menghantar mesej kepada DAP bahawa mereka tidak memerlukan parti itu untuk mendapat sokongan bukan Islam.

“Sokongan bukan Islam terhadap PAS semakin kuat menerusi kelab penyokong parti itu. Malah mereka merancang untuk jadikan kelab itu sebagai salah satu sayap dan kalau ini yang berlaku sokongan bukan Islam terhadap PAS semakin utuh.

“Itu sebabnya saya katakan PAS tidak perlukan DAP. Malah jika diperhatikan selepas ucapan Hadi di muktamar, DAP yang paling gusar, sehingga cepat-cepat mengeluarkan kenyataan membantah dan mahu pakatan duduk berbincang. Ini menunjukkan DAP yang perlukan mereka bukan sebaliknya,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Abdul Hadi ikhlas ketika mengadakan perbincangan mengenai perpaduan dengan Umno yang berlaku sejurus selepas pilihan raya umum lalu.

“Mungkin pada masa itu mereka melihat ada keperluan untuk orang Islam, dan apabila sebut Islam ini pastinya merujuk kepada Melayu bersatu, tetapi entah macam mana ia menjadi isu yang sudah di luar kawalan,” katanya.

Asri juga yang berpandangan bahawa pengaruh Musyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menjadi faktor PAS membatalkan perbincangan dengan UMNO itu.

“Walau apapun pandangan orang terhadap Nik Abdul Aziz, hakikatnya beliau mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam PAS malah ada yang beritahu saya yang orang boleh kata apa saja tentang PAS tapi jangan sentuh Nik Aziz,” kata beliau.

Asri tidak menolak pendapat jika cadangan itu datang daripada Menteri Besar Kelantan sendiri, perbincangan dengan UMNO akan tetap berlangsung sekalipun dibantah DAP dan PKR.

Hakikatnya, apa juga motif PAS dalam perbincangan dengan UMNO itu hanya diketahui oleh mereka yang berkenaan, namun yang pasti isu ini meninggalkan parut dalam pakatan pembangkang.

Kini persoalanannya mampukah pakatan yang baru berusia 15 bulan ini bertahan untuk berdepan dengan BN pada pilihan raya umum ke-13?

— BERNAMA

~ oleh silamgemilang di Julai 2, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: