Chin Peng Dan Kekejaman Pengganas Komunis

Chin Peng Dan Kekejaman Pengganas Komunis
Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) — Mungkin tidak ramai rakyat Malaysia yang masih ingat keperitan hidup pada era darurat antara tahun 1948 dan 1960, yang merupakan episod hitam kepada negara dan mereka yang terlibat secara langsung dengan kekejaman pengganas komunis.

Beribu-ribu orang awam dan anggota keselamatan terutamanya orang Melayu terkorban di tangan pengganas komunis dengan cara yang amat kejam seperti tubuh badan mereka dikelar, ada yang dibakar, ditembak, digantung dan ditanam hidup-hidup dalam lubang kubur yang dipaksa digali oleh mereka sendiri.

Namun peristiwa-peristiwa hitam yang semakin dilupakan ini kembali semula dalam perbualan dan perbincangan ramai berikutan usaha bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, untuk pulang ke Malaysia.

Dan apabila Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan baru-baru ini meminta kerajaan membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini atas dasar perikemanusiaan, ramai yang terasa bagaikan luka lama berdarah kembali.

Alasan yang diberikan oleh pemimpin politik itu ialah Chin Peng, sudah tua dan tidak lagi menjadi ancaman kepada negara, tidak dapat diterima oleh mangsa dan keluarga mangsa kekejaman pengganas komunis itu.

Tidak dapat dinafikan bahawa permintaan atas dasar kemanusiaan dalam apa-apa perkara mampu meraih simpati ramai dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia, namun persoalannya wajarkah Chin Peng dibenar pulang untuk menetap di negara ini?

Apakah pengukur kepada pertimbangan itu dan apakah motif sebenar pihak terbabit yang berusaha agar bekas pemimpin parti komunis itu dapat pulang walaupun mahkamah pada 30 April lepas menolak permintaannya untuk kembali ke negara ini?

Kira-kira empat tahun lepas, sebuah parti politik cuba memutarbelitkan sejarah dengan mengatakan kononnya tentangan daripada PKM antara faktor kenapa British memberikan kemerdekaan kepada Malaysia.

Cubaan ini secara tersirat cuba menggambarkan kononnya Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan sedangkan beliau adalah pemimpin parti komunis yang bertanggungjawab terhadap kematian beribu-ribu rakyat negara ini semasa era darurat.

Hakikatnya ialah perjuangan PKM juga pada asalnya tiada kena mengena langsung dengan usaha untuk memerdekakan Tanah Melayu daripada jajahan British.

Ini dijelaskan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang berkata PKM yang ditubuhkan pada 1930 adalah sebahagian daripada gerakan komunis antarabangsa terutama Komunis Rusia dengan matlamat melebarkan ideologi itu.

“Mereka bukannya mahu bebaskan negara ini daripada British tapi mahu jadikan Tanah Melayu sebahagian orde komunis dunia. Bukan untuk capai kemerdekaan,” kata pakar sejarah daripada Universiti Malaya itu.

Beliau berkata fahaman komunis ketika itu juga menolak konsep negara bangsa dan tidak mengiktiraf sempadan politik selain menolak ideologi kapitalisme.

Berdasarkan hujah sejarawan itu, jelaslah perjuangan parti komunis yang diketuai Chin Peng itu bertujuan menjadikan negara ini sebuah republik komunis dan bukannya negara demokrasi sepertimana sekarang.

Mengikut fakta sejarah, PKM telah menubuhkan Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA) dan bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun yang menakluk Tanah Melayu dari 13 Febuari 1942 hingga 15 Ogos 1945.

Ketika itu, Perang Dunia Kedua antara Kuasa Bersekutu (Negara-Negara Komanwel, Perancis, Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet dan China) dan Kuasa Paksi (Jepun, Jerman dan Itali) sedang mengambil tempat (1939-1945).

MPAJA atau Bintang Tiga yang memperoleh bantuan senjata, latihan, kewangan, bekalan logistik dan perubatan daripada British menentang Jepun menggunakan taktik perang gerila.

Ramai orang Cina menyertai Bintang Tiga ekoran kebencian mereka kepada Jepun yang ketika itu menakluki China.

Bintang Tiga telah memerintah Tanah Melayu selama empat belas hari selepas kekalahan dan pengunduran Tentera Jepun kepada Tentera Bersekutu pada 16 Ogos 1945 sehingga kepulangan tentera British ke Tanah Melayu pada awal September.

Dalam tempoh itulah ramai orang awam diseksa, dirogol dan dibunuh secara kejam oleh komunis, terutama orang Melayu kerana dituduh bersubahat dengan Jepun dan Inggeris. Ini kerana ketika pendudukan Jepun, majoriti anggota Pasukan Polis Jepun atau Jookidam adalah orang Melayu.

“Selepas British balik, orang Melayu telah bangkit dan menentang komunis cuma mereka tidak faham bahawa yang sepatutnya ditentang adalah komunis, bukannya orang Cina,” kata Prof Khoo.

Kesan daripada ketidakfahaman itu, berlakulah rusuhan kaum di beberapa tempat antaranya di Batu Pahat, Johor, dan Sungai Manik, Perak, dari September 1945 hingga April 1946.

Pada 17 Oktober 1945, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan oleh Moktaruddin Lasso di Ipoh, Perak, bagi meraih simpati dan sokongan orang Melayu, selain mengindoktrinasi fahaman komunis di kalangan kaum itu.

Ketika itu, PKM dilihat menguasai PKMM melalui tokoh-tokoh jawatankuasanya seperti Rashid Maidin, Abdullah C.D, Arshad Ashaari dan Mokhtaruddin. Golongan kiri ini cenderung supaya Tanah Melayu mengikut Indonesia mendapatkan kemerdekaan pada 1949.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Feb 1948 dilihat mengenepikan komunis sekaligus memberikan tamparan hebat kepada parti komunis yang ingin menjadikan Tanah Melayu sebuah republik komunis.

Sebelum itu, British telah membentuk Malayan Union (1946-1948) dan menjadikan Tanah Melayu dan Negeri-Negeri Selat termasuk Singapura di bawah pemerintahan gabenor Sir Edward Gent.

“Selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang mengembalikan semula kuasa raja-raja Melayu ekoran perjuangan UMNO menentang Malayan Union, parti komunis telah mengangkat senjata.

“PKM kecewa sebab British kembalikan kuasa raja-raja Melayu. Sebab itu mereka tentang British kerana tidak dapat jadikan Tanah Melayu sebuah republik komunis,” kata ahli sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam.

Berikutan itu, beberapa siri serangan dan pembunuhan telah dilakukan oleh PKM telah memaksa Sir Edward Gent mengisytiharkan darurat di negara ini pada 12 Julai 1948 dan pada 23 Julai tahun sama, PKM telah diharamkan.

Sebelum itu, Chin Peng mengambilalih pimpinan parti komunis daripada Loi Tek (Setiausaha PKM sebelum Chin Peng) yang menghilangkan diri bersama wang simpanan parti pada Mac 1947.

Dalam tempoh inilah, pengganas komunis yang diketuai Chin Peng menggunakan taktik gerila beroperasi dari hutan melancarkan serangan terhadap balai-balai polis dan kampung-kampung dan membunuh banyak anggota pasukan keselamatan dan orang awam.

Ia termasuklah peristiwa tragik serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Johor pada 23 Febuari 1950 di mana anggota pasukan keselamatan berjuang habis-habisan sehingga ke titisan darah terakhir.

Dalam insiden itu segerombolan 180 pengganas komunis telah mengepong dan menyerang rumah pasung yang terletak di tebing Sungai Muar yang ketika itu diketuai Sarjan Jamil Mohd Shah dengan 21 anggota campuran polis tugas am, polis khas dan polis bantuan. Serangan tragik itu mengorbankan 17 anggota keselamatan.

Pada 28-29 Dis 1955, Rundingan Baling telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, Baling, Kedah di antara pihak Kerajaan diketuai Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj selaku Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu ketika itu dan PKM diketuai Chin Peng.

PKM telah meminta kerajaan membenarkannya bergerak sebagai parti politik tetapi permintaan itu ditolak berdasarkan kekejaman yang telah dilakukan oleh pengganas komunis sebelum itu. Pada masa yang sama kerajaan menawarkan pengampunan dengan syarat parti komunis itu dibubarkan.

Pemberontakan pengganas komunis berterusan sehinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, ketika darurat masih berkuatkuasa namun ia dihentikan pada 31 Julai 1960 dengan pengunduran tentera komunis ke sempadan Tanah Melayu-Thailand.

Kebangkitan semula PKM dan Parti Komunis Kalimantan Utara (1968-1989) untuk menggulingkan Kerajaan Malaysia secara kekerasan bagi menubuhkan sebuah republik komunis telah menghidupkan kembali serangan komunis, tetapi kali ini ia juga di lakukan di kawasan bandar. Antaranya ialah pengganas komunis mengebom Markas Briged Tengah Pasukan Polis Hutan (PPH) di Jalan Pekeliling (kini Jalan Tun Razak) pada 3 Sept 1975 yang mengorbankan dua anggota polis dan mencederakan 10 anggota lain. PPH kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam tempoh itu, komunis melancarkan serangan ke atas unit-unit tentera darat di sempadan Thailand dan Kalimantan selain serangan skuad-skuad khas yang menjalankan operasi pembunuhan ketua-ketua pasukan keselamatan dan pemimpin berpengaruh di kawasan bandar.

Dua pembunuhan nekad yang dilakukan anasir komunis ialah pembunuhan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang ditembak mati di Kuala Lumpur pada 7 Jun 1974 dan pembunuhan Ketua Polis Negeri Perak Tan Sri Khoo Chong Kong di Ipoh pada 13 November 1975.

Setelah 41 tahun pemberontakan komunis dan setelah beribu-ribu nyawa terkorban, akhirnya PKM yang diketuai Chin Peng meletakkan senjata dan dibubarkan menerusi Perjanjian Haadyai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 antara Kerajaan Malaysia, PKM dan Kerajaan Thai.

Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Michael Chen berkata Chin Peng telah terlepas peluang untuk kembali ke negara ini selepas Kerajaan membenarkan mereka berbuat demikian dalam tempoh setahun selepas perletakan senjata komunis pada 1989 itu.

“Atas beberapa sebab, dia tidak pulang. Cubaannya (untuk pulang) melalui proses perundangan telah gagal,” katanya merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 30 April lepas yang tidak membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini kerana beliau gagal membuktikan kerakyatannya.

Chen, yang juga bekas Timbalan Presiden MCA berkata kerajaan mungkin boleh menimbangkan untuk membenarkan bekas pemimpin parti komunis itu sekadar untuk melawat kubur ayahnya di Malaysia atas dasar kemanusiaan.

Sehingga kini, hasrat Chin Peng untuk balik menerima tentangan keras terutama daripada persatuan-persatuan bekas anggota polis dan tentera yang menjadi mangsa kekejaman komunis.

“Kita tidak mahu luka lama berdarah kembali,” kata pemangku presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Ku Mohamad Khalid Tuan Ibrahim mengulas isu itu.

Apa yang pasti isu Chin Peng tidak harus dilihat dari sudut perkauman atau kepentingan politik yang sempit kerana ketika komunis bermaharajalela, yang menjadi mangsa adalah semua rakyat tanpa mengira warna kulit.

Sepertimana jawapan Khoo Kay Kim ketika ditanya wajarkah Chin Peng dibenarkan pulang, baginya, “orang yang berhak menentukan sama ada Chin Peng boleh balik atau tidak ialah sanak saudara mereka yang dibunuh komunis”.

Persoalannya, apakah faedahnya kepada negara jika Chin Peng dibenarkan pulang?

— BERNAMA

~ oleh silamgemilang di Jun 7, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: