Keputusan Penanti Bukan Kayu Ukur Populariti Parti : Najib

Daripada Khairdzir Yunus

PULAU JEJU (Korea Selatan), 1 Jun (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kemenangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kawasan Penanti semalam bukanlah kayu ukur populariti mana-mana parti politik.

Perdana Menteri berkata ia juga satu kemenangan yang tidak merangsangkan daripada dua segi iaitu bilangan pengundi yang keluar mengundi menurun kepada kurang 50 peratus, dan majoriti yang diperoleh PKR merosot kira-kira 1,300 undi.

Beliau turut menyifatkan kemenangan PKR mengalahkan calon Bebas itu sebagai bukan satu kemenangan mutlak atau kemenangan yang boleh dibanggakan.

Najib berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas beliau menyampaikan ucap utama pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Asean-Korea yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Asean-Korea di Pusat Konvensyen Antarabangsa Jeju di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 59, memenangi pilihan raya kecil itu dengan majoriti 5,558 undi.

Mansor yang memperoleh 6,052 undi mengalahkan tiga calon Bebas iaitu Aminah Abdullah, 56, yang mendapat 392 undi, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41, (494 undi) dan Kamarul Ramizu Idris, 42, (56 undi).

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin, kerana hendak melanjutkan pelajaran di peringkat pasca ijazah pada 16 April lepas.

Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu kerana Dewan Tertinggi BN memutuskan bahawa kekosongan kerusi itu tidak ada kena mengena dengan peruntukan perlembagaan dan hanya merupakan satu permainan politik pembangkang.

Najib berada di sini sejak Ahad kerana menghadiri Sidang Kemuncak itu yang berlangsung dua hari.

Di PUTRAJAYA, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peratusan undi yang merosot itu adalah bukti jelas bahawa rakyat telah mula bosan dengan dakyah PKR selain boleh ditafsirkan sebagai tanda protes pengundi yang sudah jelak dengan permainan politik pembangkang.

Katanya rakyat secara tidak langsung telah menyuarakan isi hati mereka terhadap pilihan raya kecil berkenaan yang hanya membuang masa dan membazirkan wang.

“Peratusan 46 peratus tak pernah berlaku dalam mana-mana sejarah pilihan raya. Ini bukti bahawa pengundi di Penanti memang bosan dengan apa yang dilakukan oleh PKR,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketiadaan calon daripada Barisan Nasional seharusnya memberikan majoriti undi yang lebih besar terhadap calon PKR, namun keadaan sebaliknya berlaku, sekaligus menandakan kekuatan BN masih dirasai.

“PKR pun cakap besar. Sepatutnya tak ada calon dari BN mereka boleh dapat peratus lebih besar tapi jelas terbukti tidak begitu. Jadi maknanya kekuatan BN ada di situ cuma kita tak masuk bertanding sahaja,” katanya.

Mengenai pilihan raya kecil kerusi negeri Manik Urai di Kelantan pada 14 Julai ini, Muhyiddin berkata BN akan melakukan perubahan dalam usaha menambat hati rakyat dan menambah baik pendekatan yang akan digunakan semasa berkempen agar impaknya lebih berkesan.

— BERNAMA

~ oleh silamgemilang di Jun 3, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: