Syria Mahu Tingkat Hubungan Dengan Malaysia, Kata Anifah

Syria Mahu Tingkat Hubungan Dengan Malaysia, Kata Anifah

 

Daripada Abdul Muin Abdul Majid

DAMSYIK, 25 Mei (Bernama) — Syria mahu menjalin hubungan lebih rapat dengan Malaysia, termasuk meningkatkan tahap penyertaan usahawan Malaysia dalam aktviti pembangunan dan ekonomi republik di Arab itu.

Perkara itu disampaikan pada perbincangan pada Sabtu antara Menteri Luar Malaysia Datuk Anifah Aman dan Perdana Menteri Syria Mohammad Naji Al Otri pada acara tidak rasmi sempena Sesi Ke-36 Majlis Menteri-menteri Luar (CFM) Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Menyatakan perbincangan itu berjalan dalam suasana mesra, Anifah memberitahu Bernama: “Beliau banyak memuji Malaysia, telah melawat negara kita pada Januari tahun ini dan Syria mahu menjalin hubungan rapat dengan Malaysia dalam semua bidang.”

Syarikat Malaysia yang terlibat dalam beberapa inisiatif di Syria, termasuk projek lapangan terbang di Damsyik.

Bidang lain yang berpotensi bagi kerjasama ialah dalam sektor minyak dan gas, kata Anifah yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat CFM di ibu negara Syria ini.

Menteri Luar itu berkata Otri turut menyatakan yang kedua-dua negara patut terus berkomunikasi antara satu sama lain untuk menyatakan pandangan serta menyelesaikan apa juga masalah yang mungkin timbul.

Syria juga mahu mencontohi pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara Islam, katanya dan menurutnya mereka turut berbincang pendirian bersama mereka mengenai isu Palestin dan bertukar-tukar pandangan mengenai OIC dengan keanggotaan 57 negara.

Syria meliputi kawasan seluas 185,180 km persegi termasuk 1,295 km persegi tanah di bawah jajahan Israel.

Eksport utamanya termasuk minyak mentah, produk petroleum, buah-buahan dan sayur-sayuran, gentian kapas, pakaian, daging dan haiwan ternakan dan gandum.

Mengenai OIC yang berpangkalan di Jeddah, Menteri Luar Malaysia itu berkata perkumpulan itu telah mendraf banyak resolusi sepanjang 40 penubuhannya tetapi “tidak banyak yang telah dilaksanakan”.

“Apa yang saya ingin katakan ialah kami mesti laksanakan apa yang boleh dilaksanakan, sama ada projek atau resolusi. OIC juga patut memberi penekanan kepada ekonomi di samping politik kerana negara-negara perlu stabil bukan sahaja daripada segi politik tetapi juga ekonomi untuk mencapai kemajuan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Anifah pertama kali membangkitkan perkara itu dalam kenyataannya yang disampaikan pada mesyuarat CFM pada Sabtu, antara lain menurutnya terdapat keperluan untuk memberikan tanggungjawab kepada setiausaha agung OIC dan jawatankuasa masing-masing untuk memperhalusi semula keutamaan perkumpulan itu yang mewakili 1.5 bilion umat Islam di bumi ini.

Ini, katanya untuk memastikan OIC dapat memanfaatkan secara efektif dan efisien sumber terhad ke arah “melaksanakan apa yang boleh dilaksanakan”, kerana hanya melalui usaha padu seumpama itu akan membolehkan pertubuhan mencapai hasil yang memuaskan.

Anifah berkata OIC perlu memastikan bahawa apa juga yang telah dipersetujui melalui resolusi yang telah diterima pakai negara anggota mestilah dilaksanakan atau ia berisiko hanya tampak baik di atas kertas sahaja.

Mengenai sokongan Malaysia terhadap hasrat Filipina untuk menduduki kerusi pemerhati dalam OIC, Menteri itu berkata ia akan membolehkan perkumpulan negara Islam itu membantu Manila menangani isu berkaitan dengan penduduk Islam di negaranya.

Menurut beliau, dapat dikatakan ia dilakukan dalam semangat Asean, berikutan cadangan untuk menerima permintaan Filipina berhubung status pemerhati OIC itu datang daripada Indonesia manakala Brunei turut menyokongnya.

Anifah berlepas dari Damsyik ke Hanoi, Vietnam, semalam bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Mesyuarat Asia-Eropah Kesembilan.

— BERNAMA

~ oleh silamgemilang di Mei 25, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: