Keputusan kes rasuah Kasitah 30 Jun ini

 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi sudah menetapkan 30 Jun ini untuk keputusan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam.

Hakim Suraya Othman menetapkan tarikh tersebut selepas pihak pendakwaan dan pembelaan selesai menggulung penghujahan masing-masing hari ini.

Sejumlah 31 saksi pendakwa sudah memberi keterangan termasuk bekas Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan, Tan Sri Joseph Kurup dan Ketua Pegawai Operasi CIMB Bank Bhd, Tan Sri Dr Munir Majid.

 

Pada 12 Februari 2004, Kasitah, 60, juga bekas Pengerusi Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB), didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi SLDB untuk kepentingan kewangannya dengan mengambil bahagian dalam membuat keputusan untuk meluluskan penjualan 16.8 juta saham Sapi Plantations yang dipegang oleh lembaga tersebut kepada Briskmark Enterprise Sdn Bhd.

Dia juga didakwa menipu SLDB dengan tidak mengumumkan tawaran PPB Oil Palms Sdn Bhd untuk memperuntukkan lima saham syarikat itu bagi setiap saham Sapi Plantations dalam cadangan PPB untuk disenaraikan pada Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE), kini Bursa Malaysia.

Terdahulu, pada penghujahan berbalas, peguam bela Datuk Muhammad Shafee Abdullah, berkata Kasitah tidak sedar sumber wang RM11.5 juta yang diterima dalam akaunnya untuk melunaskan pinjaman dengan DCD Bank (kini RHB Bank) pada 1997 adalah dari penjualan saham PPB Oil Palms.

“Kasitah tidak mempertikaikan bahawa wang sudah dimasukkan ke dalam akaunnya tetapi pendirian utama adalah wang itu sebenarnya hasil penjualan saham Intra Oil Sdn Bhd (IOS) miliknya,” tegas Shafee.

Katanya, jika Kasitah menerima dan menjual 3.36 juta saham PPB Oil Palms yang didakwa diperuntukkan kepadanya oleh Pengarah Briskmark, Datuk Wasli Mohd Said, maka ia menjadi tanggungjawab pendakwaan untuk membuktikan bahawa Kasitah sudah menerima bayaran ke atas kedua-dua saham PPB Oil Palms dan IOS.

“Keseluruhan jentera Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah menyiasatnya pada 2002. Jika wujud dua bayaran seperti itu, maka mereka dapat mengesannya dalam akaun Kasitah,” katanya.

Katanya lagi, Kasitah tidak pernah melihat cek atau wang tunai hasil penjualan saham IOS miliknya sejak kesemua urus niaga dijalankan oleh Vincent Chia, bekas rakan firma audit Arthur Andersen.

Shafee berkata, Chia adalah orang yang bersubahat dalam kes ini dan hakikatnya dia adalah pesalah utama dengan bertindak bagi SLDB dan Briskmark.

“Ianya kepentingan konflik yang besar bagi pihak akauntan bertauliah seperti Chia yang bertindak bagi pihak penjual dan pembeli di mana dalam kes ini pendakwaan amat bergantung kepadanya untuk mensabitkan Kasitah,” hujah Shafee.

Katanya, kedua-dua Chia dan Wasli bukan saksi yang berkebolehan atau boleh dipercayai di mana pendakwaan juga gagal menangani isu kerjasama dalam membuktikan kes terhadap Kasitah.

Shafee mengakhiri hujahan dengan menyatakan bahawa kes pendakwaan terhadap anak guamnya dipenuhi dengan teka-teki semata-mata dan keraguan berbanding keterangan nyata.

Timbalan Pendakwa Raya Hanafiah Zakaria bertindak bagi pihak pendakwaan. – Bernama

~ oleh silamgemilang di Mei 15, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: