Sabah & Sarawak: Tunggu lama dapatkan minyak subsidi disiasat

Sabah & Sarawak: Tunggu lama dapatkan minyak subsidi disiasat
Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my
LKIM simpati nasib nelayan janji ambil tindakan

KOTA KINABALU: Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Abdul Rahim Ismail berjanji akan menyiasat dakwaan nelayan di Sandakan mereka terpaksa menunggu antara enam hingga lapan jam semata-mata untuk mengisi minyak bersubsidi.

Beliau yang melahirkan simpati terhadap nelayan berkenaan, berkata siasatan menjurus kepada pengusaha stesen minyak di jeti dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sandakan yang dilantik LKIM sebagai pembekal bahan api bersubsidi kepada nelayan.

 

Katanya, dakwaan berkenaan perlu ditentukan kesahihannya bagi membolehkan LKIM mengambil tindakan lanjut dengan meminta pengusaha stesen minyak dan PNK meningkatkan sistem penyampaian bagi mengelak nelayan terpaksa menghabiskan masa berjam-jam untuk mendapatkan bekalan bahan api.

“LKIM memberikan kad e-diesel dan e-petrol kepada nelayan dengan memberi pilihan kepada mereka mengisi bahan api di kawasan berhampiran dengan pangkalan bot masing-masing.

“Setiap nelayan yang ada kad e-diesel dan e-petrol layak mendapat bekalan bahan api pada harga subsidi. Kami akan menyiasat dakwaan itu kerana masa yang terbuang sepatutnya sudah digunakan untuk menangkap ikan,” katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin kelmarin bahawa nelayan, khususnya di Sandakan mendakwa terpaksa menghabiskan antara enam hingga lapan jam semata-mata untuk mendapatkan diesel subsidi di jeti.

Akibat menunggu lama, ada nelayan lewat turun ke laut, selain ada yang terpaksa meninggalkan jeti tanpa mengisi minyak.

Sehubungan itu Bung Moktar meminta LKIM mengatasi masalah berkenaan dan jika ia gagal diatasi, beliau bercadang membawa masalah berkenaan ke sidang Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, jika siasatan mendapati punca masalah berkenaan adalah disebabkan pengusaha stesen minyak terlalu bergantung kepada sistem pengekodan secara elektronik, LKIM akan meminta mereka menggunakan kaedah pengekodan secara manual.

Beliau berkata, pengusaha terbabit dipercayai lebih gemar menggunakan sistem pengekodan elektrnonik untuk memasukkan data mengenai penjualan bahan api berkenaan, sekali gus menyebabkan nelayan terpaksa menunggu lama.

“Jika itu menjadi puncanya, saya menggesa pengusaha stesen minyak bertindak bijak dengan menggunakan sistem pengekodan secara manual apabila mendapati bot nelayan berbaris panjang di jeti berbanding membiarkan mereka terpaksa menghabiskan berjam-jam untuk mengisi bahan api,” katanya.

~ oleh silamgemilang di Mei 5, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: