Sabah & Sarawak: Bernas jamin kekurangan beras 2008 tak berulang

Sabah & Sarawak: Bernas jamin kekurangan beras 2008 tak berulang
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
Simpanan padi mencukupi bagi keperluan enam bulan

KUCHING: Padiberas Nasional Berhad (Bernas) memberi jaminan kekurangan bekalan beras di Sabah dan Sarawak seperti yang berlaku tahun lalu tidak akan berulang berikutan simpanan padi yang dimilikinya ketika ini mampu menampung keperluan bagi tempoh enam bulan.

Ketua Pegawai Operasi Beras Corporation, Mohd Kamaluddin Mohd Effendie, berkata ketika ini proses penghantaran beras dari Thailand dan Vietnam masih berjalan dengan ia menepati jadual yang ditetapkan oleh pihaknya.

 

Katanya, masalah yang timbul tahun lalu berpunca dari beberapa aspek termasuk pengguna yang panik, namun pihaknya menjamin perkara itu tidak akan berulang berikutan stok simpanan beras di dua gudangnya di sini dan di Sabah.

“Saya menjamin kita mempunyai stok beras yang mencukupi bekalan sehingga enam bulan dengan pengajaran tahun lalu banyak membantu kita merancang stok yang diperlukan bagi menampung permintaan.

“Malah ketika ini tempahan beras dari negara pengeksport masih dilakukan dan berdasarkan jadual Bernas akan menerima beberapa penghantaran tambahan dari negara berkenaan dalam tempoh tidak berapa lama lagi,” katanya ketika ditemui Berita Harian di sini, semalam.

November tahun lalu, stok simpanan beras bagi kegunaan pengguna di Sabah dan Sarawak susut sehingga di bawah tiga bulan berikutan negara pengimport mengalami masalah bekalan menyebabkan mereka gagal menghantar bekalan mengikut masa yang ditetapkan.

Memburukkan keadaan, kenaikan harga minyak global menyebabkan peningkatan kos penghantaran selain permintaan ke atas beras terus meningkat di sebalik kadar pengeluaran yang terus kekal.

Kamaluddin berkata, pihaknya sedang merancang membuka kembali gudang simpanan beras di Pelabuhan Miri berikutan kemudahan berkenaan di Pelabuhan Kuching dan Bintulu tidak lagi mampu menampung bekalan.

“Sebelum ini memang kita mempunyai gudang simpanan di Miri tetapi ia terpaksa ditutup berikutan kapal tidak dapat masuk ke kuala Sungai Baram akibat masalah air cetek menyebabkan hanya dua gudang di Kuching dan Bintulu dapat digunakan.

“Namun baru-baru ini kerajaan mengumumkan kerja mendalamkan kawasan berkenaan sebelum gudang Bernas di Pelabuhan Miri dapat dibuka semula bagi memenuhi bekalan di kawasan itu,” katanya.

Mengulas mengenai kaedah yang digunakan Bernas bagi memastikan harga beras di luar bandar tidak terlalu mahal, Kamaluddin berkata, pihaknya mempunyai stor simpanan kecil bagi mengelak pemborong menaikkan harga di kawasan itu sesuka hati.

“Bernas sudah mendapat pengajaran yang cukup dengan kita tidak akan bergantung kepada pemborong bagi menyimpan stok sebaliknya kita sudah mempunyai stor simpanan yang dapat menampung permintaan luar bandar,” katanya.

~ oleh silamgemilang di Mei 5, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: