KITA MASIH BERTUAH: SALLEH

KITA MASIH BERTUAH: SALLEH PDF Print E-mail
Written by Admin   
Sunday, 03 May 2009 11:59
 

 

KEMISKINAN dan setinggan adalah dua isu yang relatif. Kebergantungan tahap kemiskinan akan mendorong melonjaknya setinggan bukan sahaja di Sabah, malah di seluruh dunia. Pemilihan Duta Keamanan PBB, Haji Salleh Kalbi menyertai rombongan Parlimen Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee (Beluran), Dr Sharom (Lipis) dan Aron Dagang (Kenowit) bagaikan menjana iltizam untuk memastikan hasrat kerajaan Negeri Sabah mewujudkan konsep setinggan sifar dan membasmi kemiskinan menjadi realiti yang pasti. Ikuti wawancara editor Sabahkini.net, Mutalib M.D dengan Salleh Kalbi yang juga Ahli Parlimen Silam berhubung isu setinggan dan kemiskinan.
Sabahkini.net: Assalamualaikum YB!. Tahniah kerana berpeluang menyertai rombongan Malaysia ke UNHabibat 2009 di Nairobi Kenya. Apa yang menyebabkan YB menyertai rombongan tersebut sedangkan tugas YB di kawasan begitu mencabar?.

Salleh Kalbi: Waalaikum salam warahmatullah hiwabarakatuh! “Asante sana” dalam bahasa Kenya bermaksud “Terima Kasih Banyak-Banyak.” Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kerana telah memberi peluang kepada saya mendalami dan melihat sendiri kesungguhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyelesaikan isu setinggan dan kemiskinan secara komited. Perbelanjaan kami sepanjang sesi dialog berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Walaupun tugas saya di kawasan amat menghambat jadual kesibukan saya, namun kunjungan ke Nairobi Kenya ini amat bermakna kepada saya kerana kawasan Silam menghadapi masalah setinggan yang agak meruncing sejak 1970-an. Sebagai Ahli Parlimen UMNO, saya mengharapkan dapat menimba ilmu yang amat bermakna daripada rakan sejawat daripada 52 buah negara PBB di dunia.

 
 
 
SARAPAN…. Delegasi Malaysia sedang menikmati sarapan pagi. Dari kiri Datuk Ronald Kiandee, Dr Sharom, Aron dan Salleh.
 
 

 
TEKUN….Salleh dan rakan sedang tekun mendengar taklimat daripada pembentang kertas kerja dan fasalitator agar idea yang disampaikan dapat dikembangbiak di Malaysia.
 
 
 

 
ROMBONGAN…. Delegasi Malaysia diketuai Datuk Ronald Kiandeebersama pegawai iringan daripada atase Malaysia di Nairobi mengabadikan kenangan di hadapan bangunan sekritariat persidangan.
 
 
Sabahkini.net: Mengikut jadual waktu yang padat, YB hanya berada selama empat hari di Kenya. Apakah dalam tempoh tersebut YB mendapat sesuatu yang bermakna untuk digunakan di Sabah dan Malaysia Amnya?

Salleh Kalbi: Memang saya akui jadual Sesi ke 22 UNHabitat di Kenya amat ketat, namun kerana saya mewakili negara Malaysia bersama rakan yang lain, maka adalah menjadi tugas saya untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman dan berkongsi pengalaman dengan para peserta daripada negara lain di dunia yang turut menyertai dialog berkenaan. Persoalan yang timbul sekarang ialah adakah masalah setinggan di negara kita terlalu buruk sebagaimana yang digambarkan pihak pembangkang atau negara lain yang lebih buruk. Saya tidak ingin membandingkan Malaysia dengan Singapura atau Taiwan walaupun kita merdeka hampir sama. Tetapi saya cuma ingin mengkaji mekanisme yang digunakan PBB untuk mengatasi masalah setinggan dan kemiskinan di Kenya sekalipun Kenya merdeka sebaya dengan kita, Malaysia.

 
Saya ambil skop yang lebih kecil iaitu meletakkan Sabah setaraf dengan Kenya. Ternyata, dalam segenap hal, Sabah 25 kali ganda lebih baik daripada Kenya. Bukan kerana Sabah negeri kelahiran saya, tetapi hakikatnya rakyat Sabah harus bersyukur tidak dilahirkan di Kenya. Dasar Urbanisasi kita lebih pantas dan meyakinkan jika dibandingkan dengan negara lain di dunia. Sebagai contoh, Lahad Datu lebih pesat membangun daripada ibu negara Kenya, Nairobi. Dasar urbanisasi kita jelas iaitu secara terancang dan konsep bandar masa hadapan yang mesra setinggan dan tidak mensasarkan setinggan sebagai mangsa kepada pembangunan.

Sabahkini.net; YB Kata tadi Lahad Datu lebih maju daripada Nairobi dalam segenap hal? Bukankah kita sedang mengalami kesan karat daripada pembangunan tidak seimbang iaitu tompokan pembangunan di kawasan bandar sedangkan jurang antara bandar dan desa semakin jauh, seolah tidak akan ada titik pertemuan Dasar urbanisasi kita dalam menjelang 2020. Bukankah masalah setinggan di Lahad datu dan Silam amnya begitu meruncing?

Salleh Kalbi: Memang benar. Kita harus bersyukur kerana Lahad Datu lebih maju daripada Nairobi. Dasar Urbanisasi kita amat jelas dan terancang iaitu memastikan infrastruktur mencukupi sebelum melaksanakan dasar Urbanisasi ke kawasan Luar Bandar. Kita ambil contoh, Tungku umpamanya. Kita tidak melonggokkan pembangunan di Pekan ‘Dengan’ kerana infrastruktur sedang dalam peringkat perancangan dan dinaiktaraf. Kita tumpukan pembangunan di Bandar Sahabat kerana mempunyai segala bentuk kemajuan untuk memberi nilai tambah kepada bandar baru yang kita bina.

 
Kita telah berjaya membasmi setinggan di Tungku hampir seratus peratus melalui perbadanan Felda. Begitu juga di Kunak dan Lahad Datu. Kita pisahkan dan bangunkan secara berperingkat bandar baru seperti Seri Perdana, Taman Fajar, Batu 1, Tabanak dan terkini Silam. Di Kunak, kita membangunkan bandar baru di lebuhraya Kunak-Tawau untuk melonjak pembangunan setempat. Pekan Kunak yang agak terpencil kita perbaiki, tetapi tumpuan kita adalah kawasan yang dilengkapi dengan prasarana.
 
 
 
SUSUN…Setinggan di sekitar pekan Lahad Datu sedang disusun semula melalui pelbagai program penempatan semual setinggan dengan membina rumah mesra rakyat dan PPRT yang dilengkapi prasarana bagai memastikan visi setinggan sifar berjaya.
 
 
Masalah setinggan di Lahad Datu yang suatu masa dahulu amat meruncing, namun dasar yang diamalkan Kerajaan Barisan Nasional amat jelas iaitu membina penempatan baru sebelum memindahkan setinggan secara berperingkat-peringkat. Persoalan yang sering merumitkan kerajaan iaitu keengganan mereka berpindah ke perumahan yang disediakan kerajaan walaupun kadar sewa yang dikenakan kepada mereka adalah amat rendah.
 
Agitasi politik sering membelenggu dan menggagalkan usaha kerajaan untuk melestarikan setinggan sifar kerana mereka menyertai sesuatu parti politik untuk tujuan  mendapatkan suaka iaitu perlindungan ketika rumah mereka hendak dirobohkan oleh Majlis Daerah atau Pihak Berkuasa Tempatan atau atas arahan mahkamah. Jika tidak, soal keengganan mereka berpindah tidak timbul. Bagaimanapun kita sedang berusaha untuk meyakinkan mereka bahawa Dasar Urbanisasi negara tidak akan dicapai jika mereka tidak memberikan kerjasama dan berpindah ke kawasan perumahan atau penempatan semula setinggan bagi memastikan Visi setinggan sifar di Silam menjadi realiti menjelang 2020.

Sabahkini.net: Berbalik soal penempatan setinggan dan kembarnya iaitu kemiskinan di Kenya, pada pandangan YB apakah sumbangan yang dapat Malaysia berikan untuk  membantu mereka mengatasi masalah ini?

Salleh Kalbi: Melalui dialog dan percambahan fikiran antara peserta negara anggota PBB, kita telah merumuskan beberapa perkara bukan sahaja dalam bentuk buah fikiran, malah dalam bentuk kerjasama bileteral untuk membantu Kenya keluar daripada masalah setinggan yang semakin meruncing dan masalah kemiskinan yang semakin menjalar di kawasan setinggan kerana faktor budaya dan pendidikan. Saya lihat ada di antara mereka rajin berusaha untuk meningkatkan pendapatan mereka namun di kawasan pinggir bandar memberi senario yang berbeza kerana kadar pengangguran amat tinggi sehingga menyebabkan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi survival mereka dan melakukan jenayah adalah pilihan yang tersedia. walaupun kita tidak dapat mencampuri urusan pentadbiran Kenya namun kita telah bertukar pandangan dan berkongsi maklumat bagaimana kita merangka pelan tindakan jangka panjang dan jangka pendek untuk mengatasi masalah kemiskinan yang dihubungkaitkan dengan setinggan.

 
 
 
 
SETINGGAN.. Salah satu kawasan setinggan di Kenya yang kekurangan serba serbi namun penduduknya berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan kerajaan.
 
 
Sabahkini.net: Sepanjang lawatan YB ke kawasan setinggan di Nairobi, apakah ada peristiwa yang menyentuh perasaan atau mengembirakan YB?

Salleh Kalbi: Walaupun Nairobi mempunyai penduduk yang amat pada iaitu hampir tiga juta orang namun hati saya amat tersentuh ketika melawat sebuah perkampungan setinggan di Nairobi. Kalau tidak silap saya nama kampung tersebut ‘Kebara’. Kampung ini sungguh daif dan tidak pernah tergambar di fikiran saya seumur hidup. Kemudahan asas langsung tidak ada dan rumah mereka hanyalah khemah atau pondok yang tidak mempunyai bekalan air, tiada elektrik atau tiada tandas. Kami tidak dibenarkan mendekati kampung berkenaan kerana agak berbahaya. Disebabkan kesempitan hidup mereka sangup melakukan apa sahaja. Kami hanya melihat dari dalam kereta. Saya memanjatkan syukur kepada Illahi kerana kampung seperti ini tidak wujud di Malaysia yang makmur dan aman damai.

Sabahkini.net: Dalam keadaan serba kekurangan tersebut, bagaimanakah mereka dapat menjalani kehidupan tanpa bantuan daripada kerajaan?

 
 

 
SAFARI…Industri pelancongan di Kenya menarik minat Salleh kerana memberikan pendapatan lumayan kepada Kenya namun diabaikan di Malaysia.
 
 
Salleh Kalbi: Daripada apa yang saya lihat, walaupun hidup dalam serba kekurangan, namun sikap baik yang ada dalam diri mereka ialah berdikari iaitu dengan bercucuk tanam, menternak, membuat kraftangan serta segala kerja yang mampu menghasilkan pendapatan untuk menyara keluarga mereka. Mereka tidak meminta-minta sebaliknya rajin berusaha dan menjual kepada pelancong yang datang ke Nairobi kerana Pelancong dinasihati tidak mendekati kampung mereka atas faktor keselamatan. Sikap ini patut dicontohi rakyat Malaysia yang terlalu mengharapkan bantuan kerajaan.

Sabahkini.net: Apakah antara intipati cadangan dan percambahan fikiran yang dapat membantu Kenya keluar daripada masalah kemiskinan yang mengekang kemajuan dan meletakkan rakyatnya di dalam putaran ganas kemiskinan tegar yang merantai hampir seluruh rakyat Kenya yang bersetinggan di bandar utama?     

Salleh Kalbi: Ekonomi Kenya terlalu bergantung kepada pasaran luar dan tidak kendiri seperti Malaysia. Masihkah saudara ingat peristiwa Amerika membeli minyak sawit kita dalam kuantiti yang banyak dan kemudiannya melambakkan minyak sawit tersebut?

 
Taktik kotor Amerika ini berlanjutan apabila mereka telah mengambil kesempatan dengan memanipulasi harga hasil lambakan minyak sawit yang dilakukannya. Maka, ia telah memberikan kesan kepada peneroka FELDA dan ekonomi negara ketika itu. Namun dalam era neoliberalisme ini, kegiatan seperti ini sering dipraktikkan oleh syarikat gergasi besar untuk menaikkan harga sesuatu barangan besi, ubat-ubatan, teknologi dan pelbagai lagi.
 
Teknik ini juga dilakukan oleh syarikat yang membekalkan gula, tepung dan keperluan asas masyarakat. Segala kepincangan ini menuntut campur tangan negara dan masyarakat untuk memperbetulkannya. Di sinilah hak negara untuk menstabilkan harga dan menolak segala bentuk penipuan dalam sesebuah masyarakat.Sebagai negara anggota PBB, kita simpati dengan nasib yang menimpa rakyat Kenya dan dalam masa yang sama kita tidak lupa dengan kemiskinan tegar di negara kita yang makmur tetapi rakyat kita miskin kerana gagal keluar daripada kepompong subsidi.Dalam sejarah dunia, penentangan terhadap dominasi barangan ini juga ditonjolkan dalam perjuangan Mahatma Gandhi.
Beliau pernah melancarkan boikot membuang garam ke laut. Mungkin ia dianggap perbuatan bodoh bagi orang yang tidak berfikir. Namun bagi Gandhi dan masyarakat yang berfikir, ia membawa satu simbol penentangan yang jelas terhadap dominasi, manipulasi dan monopoli British ke atas barangan dan perkhidmatan. Jika masyarakat Kenya masih terbelenggu dengan falsafah kehidupan seperti ?merican class, global attitude, world mindset, world policy, first class infrastructure, world habits, atau first class attitude? maka sudah pastinya mereka akan mengalami penderitaan jangka panjang tanpa mereka sedari.

Sabahkini.net: Bukankah kerajaan Sabah juga mengamalkan dasar yang amat jelas dan tidak bertolak ansur dengan setinggan seperti dalam Ops Nyah II Bersepadu. Lebih 5,000 buah rumah telah dirobohkan pihak berkuasa atau dirobohkan sendiri oleh penduduk setinggan yang terlibat dengan ops berkenaan di parlimen Silam. Walaupun Ops berkenaan hanya mensasarkan untuk membasmi koloni setinggan pendatang asing
tanpa izin, namun hakikatnya ramai setinggan tempatan menjadi mangsa.Apa pandangan YB dalam hal ini?

Salleh Kalbi: Ops Nyah II Bersepadu berlaku pada 2002 dan ketika itu saya belum lagi menjadi Ahli Parlimen.walaubagaimanapun, saya berpendapat Kerajaan ketika itu memikirkan faktor keselamatan negara terancam dan terpaksa mengambil tindakan tegas merobohkan rumah setinggan yang didakwa milik penduduk tempatan kerana banyak kejadian penduduk tempatan menyewakan atau membenarkan nama mereka digunakan pendatang asing untuk membina rumah setinggan.

 
Bagaimanapun, kerajaan telah berjanji dan telah menunaikan janji mereka untuk membina rumah yang selesa kepada para penduduk setinggan tempatan yang menjadi mangsa Ops Nyah II Bersepadu. Namun agitasi budaya dan kekangan politik sering menjadi penghalang kepada usaha murni kerajaan untuk menyediakan penempatan semula setinggan secara kekal selain penempatan sementara. Kesungguhan kerajaan membasmi setinggan secara terancang dan berterusan telah membuahkan hasil di semua kawasan yang terlibat.
 
Rakyat tempatan yang menerima rumah tiga bilik dengan kadar sewa yang terlalu rendah hasil kesungguhan kerajaan melalui Syarikat Perumahan Negara telah menyelesaikan hampir 80 peratus setinggan tegar di Sandakan, Kota Kinabalu, Tawau dan Lahad Datu. Bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau berada di bawah paras kemiskinan, kita telah memberikan mereka rumah PPRT. Kita harus ingat, untuk mendapat sesuatu yang baik, kita harus bersedia melepaskan perkara yang tidak baik dan mengubah sikap kita kepada positif. Insyaallah kita akan berjaya.

Sabahkini.net: Bukankah teori pembangunan neoliberalisme yang kita amalkan lebih mengutamakan pembangunan dan mengenepikan soal sosial serta kepentingan alam sekitar?.

Salleh Kalbi: Persoalan neoliberalisme hanyalah isu khilafiah atau tanggapan atau persepsi yang berbeza. Memang kita akui terdapat beberapa kecacatan dari aspek perancangan namun ianya tidak sampai tersasar daripada matlamat. Dari sudut pembangunan negara, kita sering berpatah balik untuk memikirkan persoalan sosial dan alam sekitar dan kita berusaha secara komited untuk memulihkannya. Namun, realitinya pada saat itu segalanya telah terlambat dan terlewat. Ketika itu kita tidak lagi dapat memulihkan hutan yang telah ditebang, bukit yang telah diratakan, kampung yang telah dimusnahkan dan sistem sosial masyarakat yang telah diranapkan.

 
Walaupun neoliberalisme lebih mengutamakan sektor korporat dan swasta kerana golongan ini kononnya lebih cekap menguruskan hasil sumber negeri namun golongan ini sebenarnya bermotifkan keuntungan semata-mata. Realitinya kita berhadapan dengan masalah kepupusan sumber kekayaan dan kesan kepada terhadap sistem sosial masyarakat.
 
Saya menyedari bahawa mitos neoliberalisme mengenai teori pertumbuhan di Malaysia menyatakan bahawa faedah perkembangan ekonomi dan pengagihan sumber kepada seluruh masyarakat akan berlaku apabila individu dan industri daripada swasta yang meliputi korporat tempatan dan transnasional antarabangsa dibenarkan melabur dengan jumlah wang yang besar. Ia disokong oleh kerajaan sehingga berlakunya kesenangan untuk memperoleh dan mengeksploitasi sumber alam negara.
 
Peniruan secara bulat-bulat mengenai model ekonomi Eropah dan Amerika telah menyebabkan kemusnahan alam sekitar, budaya, cara hidup dan ilmu tradisi masyarakat tempatan. Eksploitasi transnasional telah menyebabkan berlakunya pengawalan sumber dunia. Malah, eksplotasi neoliberalisme juga digunakan untuk menampung gaya hidup pendokong dan pengasas fahaman neoliberalisme serta beberapa buah negara sahaja. Kalau kita lihat laporan Pembangunan Dunia yang dikeluarkan setiap tahun oleh Bank Dunia telah mengakui bahawa “dunia dilanda kemiskinan di tengah-tengah hasil yang melimpah ruah?”
 
Laporan tersebut menganggarkan pendapatan semasa antara 20% golongan teratas dengan 20% golongan terbawah adalah dalam nisbah 150:1. Negara maju yang terdiri daripada 30 peratus penduduk yang mengeksploitasi dan menggunakan 70 peratus daripada sumber dunia, manakala 70 peratus penduduk dunia dari negara dunia ketiga terpaksa berkongsi 30 peratus daripada sumber dunia.Dalam masa yang sama kita boleh melihat lima peratus daripada populasi dunia telah menyumbang hampir 25 peratus pencemaran gas rumah hijau. Fakta secara jelas juga menunjukkan bahawa Amerika Syarikat telah menyumbang lebih banyak karbon dioksida berbanding jumlah pembebasan gas tersebut oleh China, India dan Jepun. Manakala 14 peratus populasi dunia menyumbang tiga peratus daripada gas rumah hijau secara global. Ini termasuk sumbangan pemanasan global daripada petroleum, gas, perlombongan, aktiviti industri dan pembalakan bagi menyokong tabiat negara Amerika Syarikat dan negara kaya lain serta menampung cara hidup elit tempatan.
 
Konsep neoliberalisme tidak mempunyai adab dalam ekonomi. Sistem neoliberalisme pastinya tidak mahu mendedahkan kelemahan produk dan perkhidmatan yang dibawa mereka. Walaupun jelas barangan dan perkhidmatan yang dibawa memberi mudarat kepada masyarakat. Ini merangkumi makanan yang dibekalkan, teknologi yang dijual dan pembangunan yang digerakkan. Terdapat produk yang berkarsinogen yang menyebabkan kanser tetap dijual, teknologi yang mengeluarkan dioksin dipasarkan dan pembangunan yang dijaja yang merosakkan sistem sosial masyarakat masih tetap diteruskan.Namun kita mempunyai mekanisme untuk mengatasi masalah neoliberalisme ini secara glokal.
 
 
 
PEMUDA….Salleh mengambil kesempatan yang terluang untuk bergambar bersama pemuda Kenya yang akan menjadi penentu masa hadapan Kenya.
 
Sabahkini.net: Dalam era neoliberalisme ini, realiti yang berlaku dalam negara kita adalah jurang di antara kaya dengan miskin di dalam masyarakat semakin melebar. Berlakunya penindasan terhadap masyarakat seperti pemindahan perkampungan, pencemaran alam sekitar dan ancaman keselamatan kesihatan masyarakat. Kes pengusiran Orang Asli di Bakun demi tujuan pembinaan empangan, musnahnya bendang di Kerpan, Kedah kerana pembinaan kolam udang harimau untuk tujuan eksport dan kemusnahan kampung tradisional di Beris untuk memberi laluan pembinaan empangan. Gejala ini perlu diatasi dengan memastikan beberapa akta drakonian yang menafikan hak asasi masyarakat seperti Akta Pengambilan Tanah dimansuhkan. Hal ini menyebabkan penindasan di dalam negara oleh pemerintah dan syarikat korporat juga masih berlaku dengan berleluasa. Bagaimana pandangan YB, apakah ianya akan menyekat dasar kerajaan?

Salleh Kalbi: Dalam hal ini, saya menyedari bahawa setiap pembangunan yang dilakukan akan menyebabkan ada pihak yang terkena tempias penguatkuasaan dan bukannya terkorban atau dikorbankan. Tetapi kerajaan hanya melakukan sesuatu tindakan drastik apabila tidak ada jalan penyelesaian. Ada pihak yang mengeluh menyatakan kenapa orang miskin sahaja yang perlu berkorban untuk memberi laluan kepada pembangunan? Sebenarnya sekarang ini, kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib telah beralih daripada ekonomi liberalisme kepada ekonomi yang manusiawi dan berakhlak melalui beberapa motif seperti ta?wun iaitu saling tolong-menolong, takaful ijtima? iaitu tanggungjawab sosial, ukhwah iaitu ‘persaudaraan’ dan ‘adalah’ yakni keadilan untuk semua.

 

 
IDOLA….Salleh mengabadikan kenangan berhampiran gambar Nelson Mandela di Muzium Aparthied di Nairobi, Kenya.
 
Prinsip-prinsip seperti inilah yang mesti diamalkan dalam ekonomi kita. Sudah pasti kita mengharapkan perubahan sistem yang berpihak kepada warganya. Kita mengharapkan sistem ekonomi berada pada landasan yang benar dan bukan yang menyimpang. Inilah yang dipanggil kepentingan tajarud yakni membersihkan diri daripada pola fakirisme dan individu yang berkepentingan. Kita perlu berusaha agar pertarungan ideologi neoliberalisme mampu dikalahkan, runtuhnya korupsi, berlakunya pemulihan sosial masyarakat, terbongkarnya pelaku yang salah dan pulihnya hak masyarakat yang terampas.
 
Namun, kita juga wajar sedar bahawa kita bukan sekadar menanti perubahan sistem dan kematian neoliberalime. Kita tidak boleh bergantung kepada perubahan sistem semata-mata, sedangkan nilai masyarakat masih tidak terbina.

Sabahkini.net: Sejak 1994, Kerajaan Barisan Nasional telah berusaha untuk membasmi kemiskinan tegar melalui pelbagai program namun ianya seakan tidak berjaya atau gagal secara total kerana program yang dijana tidak berteraskan aspirasi rakyat. Semakin banyak peruntukan disalurkan, semakin ramai rakyat miskin dan tersepit di celah karenah birokrasi. Apa pandangan YB berhubung dakwaan ini?

Salleh Kalbi: Saya tidak menafikan masih ada rakyat miskin tetapi adalah tidak benar jika kita mengelarkan mereka miskin tegar disebabkan tidak ada rakyat kita yang kebuluran kerana tidak ada makanan atau tidak mempunyai kemudahan asas.

 
Kerajaan, seberapa yang boleh akan membantu rakyat melalui pelbagai cara. Tetapi kadang kala masalah rakyat tidak sampai kepada kita atau mereka tidak mengetahui program yang dijana kerajaan. Mereka lebih suka meminjam daripada ‘Along’ sedangkan kerajaan mempunyai skim pinjaman yang lebih baik seperti Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun. Mereka yang bernasib malang tidak mengetahui bahawa kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan sehingga memilih untuk hidup dalam serba kekurangan. Kerana itu kita ada Mayang dan Projek Cari.
 
Namun pada pandangan peribadi saya, tidak ada rakyat miskin total atau miskin tegar di Silam. Saya berpendapat lebih 400,000 penduduk Silam hidup dalam keadaan sempurna sekalipun tidak kaya kerana bumi Silam subur dan mempunyai pelbagai peluang pekerjaan. Hanya sikap malas akan terus membelenggu mereka yang merasakan diri mereka bernasib malang dan menuding jari kepada kerajaan.

Sabahkini.net: Setelah gerakan besar-besaran meroboh rumah setinggan dilakukan pada 2002, namun Lahad Datu masih menghadapi masalah setinggan yang agak serius terutama di sekitar Lapangan Terbang, tanah kerajaan dan pinggir bandar sehingga membantutkan pembangunan yang dirancang dan kerajaan masih berlembut dengan setinggan. Dalam hal ini apa persepsi YB?

Salleh Kalbi: Perlu diingat, gerakan meroboh rumah setinggan 2002 hanya tertumpu kepada rumah pendatang asing tanpa izin. Jika pun ada rumah penduduk tempatan yang terlibat, hanya kesilapan teknikal dan melibatkan jumlah yang kecil. Kerajaan telah membayar pampasan dan memberikan mereka rumah yang serba lengkap.

 
Dalam menangani masalah setinggan bandar, kerajaan memilih sikap bertolak ansur iaitu hanya melaksanakan kekerasan mengikut undang-undang setelah pampasan diberikan seperti tapak projek Kompleks Teluk Darvel dan Kompleks Polis Marin. Bagi kawasan yang belum digunakan oleh kerajaan, ianya wujud atas dasar perikemanusiaan dan bukannya menggalakkan setinggan. Kerajaan sedang berusaha untuk mencari kawasan penempatan baru kerana jumlah mereka yang akan dipindahkan bukanlah sedikit.
 
Bagi setinggan tempatan tidak mendatangkan masalah yang besar, namun bagi setinggan asing merupakan cabaran terbesar kepada pihak berkuasa tempatan. Kerajaan sedang mengkajimekanisme dan modus operandi menghalau dan menghantar balik mereka ke negara asal, namun disebabkan agitasi budaya dan pergaulan mereka dengan penduduk tempatan, maka mereka agak liat untuk meninggalkan kemakmuran bumi Silam.
 
Mereka ini akan terus bersetinggan di pinggir bandar yang menyediakan peluang pekerjaan sekalipun mereka tertedah kepada penguatkuasaan undang-undang. Bagi mereka yang mendiami tanah Lapangan Terbang, pihak berkuasa tempatan sukar mengambil tindakan kerana ianya di bawah bidang kuasa Jabatan Penerbangan Awam. Begitu juga tanah yang dimiliki oleh jabatan tertentu atau agensi kerajaan yang masih belum dibangunkan.
 
Sehubungan itu, kita sentiasa mencari alternatif untuk memastikan mereka tidak membina koloni baru dan merobohkan koloni lama melalui penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

Sabahkini.net: Bagaimana pula dengan setinggan di kawasan hutan simpan dan hutan simpan paya bakau yang kini menjadikan YB dan Kerajaan sebagai benteng terakhir daripada penguatkuasaan undang-undang? Ada juga tuduhan liar yang mengatakan YB lebih sayangkan ‘monyet’ di hutan daripada manusia yang pernah mengundi YB.

Salleh Kalbi: Undang-undang yang sedia ada sudah cukup tegas tetapi penguatkuasaan yang lemah daripada agensi yang dipertanggung jawabkan menjaga hutan simpan menyebabkan rakyat menjadi mangsa dan menaruh harapan kepada hak asasi anak negeri yang sebenarnya tidak wujud langsung di kawasan hutan simpan. Saya berpendapat, masalah yang berlarutan ini perlu ada ‘noktah’ demi survival generasi masa hadapan. Saya tidak terkilan jika mereka mengatakan saya lebih mengutamakan monyet atau orang utan daripada mereka kerana mereka bercakap dalam nada marah dan di luar batas sedar.

 
Sebagai Pengerusi Juwitabah Sdn.Bhd iaitu anak syarikat Yayasan Sabah, saya menyokong usaha kerajaan negeri terutama keprihatinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, menghutankan semula hutan simpan yang telah diceroboh dan jika dilihat daripada aspek kemanusiaan, memang tidak wajar dan agak kejam.
 
  
 
 
MENGEJUT….Lawatan mengejut dilakukan terhadap operasi memugar tanaman penduduk kampung yang menceroboh hutan simpan bagi memastikan tidak ada pihak yang teraniaya dan dijalankan menurut lunas undang-undang.
 
 
Namun mereka yang meneroka hutan simpan sebenarnya lebih kejam kerana merampas hak cucu cicit dan generasi mereka pada masa hadapan untuk kepentingan mereka sekarang. Mereka kata mereka telah tinggal di situ dua atau tiga puluh tahun yang lalu.
 
Jika ianya dapat diselesaikan sepuluh atau dua puluh tahun lalu, kenapa tidak diselesaikan? Kenapa mahu menuding jari kepada saya atau kerajaan BN sekarang? Sebagai penggubal undang-undang, adalah tidak munasabah jika saya memperlekehkan undang-undang yang digubal dan dluluskan di Dewan Undangan Negeri dan di Parlimen?
 
Adalah tidak wajar jika saya menentang dasar kerajaan dengan membantu mereka terus menceroboh hutan simpan. Saya perlu memastikan tidak membuat kesilapan seperti pemimpinl alu yang memperdaya rakyat dengan memberikan sokongan palsu kepada rakyat meneroka hutan simpan. Mengikut dasar sedia ada, kerajaan tidak lagi boleh mengeksais keluar kawasan hutan simpan sebagai tanah negeri sejak 1984 dan oleh itu adalah tidak wajar untuk mengheret saya ke dalam kemelut ini semata-mata kerana saya Ahli Parlimen. Tibalah masanya, rakyat perlu kembali kepada pematuhan undang-undang kerana hukum rimba telah lama berlalu.
 
Dengan undang-undang bertulis yang digubal, saya rasa sudah cukup jelas bahawa Hutan Simpan diwartakan untuk kegunaan masa hadapan dan bukannya masa kini. Jika mereka telah terlanjur, saya harap mereka boleh kembali ke pangkal jalan dan berpindahlah segera bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan mengikut undang-undang. Jabatan Perhutanan hanya melaksanakan dan menguatkuasakan dasar dan undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak mampu membantu mereka, begitu juga dengan wakil rakyat.
 
Sikap tolak ansur selama ini jangan disalah ertikan sebagai kebenaran mutlak yang tidak boleh dicabar. Saya merayulah kepada rakyat di kawasan parlimen Silam agar menghentikan sebarang tindakan yang bercanggah dengan undang-undang dan boleh menyebabkan mereka akan kehilangan segala-galanya. Saya tidak boleh menghalang jika mereka membawa isu ini ke mahkamah kerana itu hak mereka. Sebagai wakil kepada Kerajaan,saya perlu bertegas bahawa saya tidak boleh melindungi sebarang kegiatan yang melanggar Enakmen Perhutanan Sabah. Kepada Jabatan Perhutanan, saya menegaskan di sini, bahawa saya tidak pernah menyokong sebarang pihak yang menceroboh hutan simpan atau bersekongkol dengan mereka. Jika melakukan penguatkuasaan, buatlah mengikut peraturan yang ditetapkan dan seberapa yang boleh hindarilah kekerasan dan penyalahgunaan kuasa.
 
Sebarang memorandum atau profail kampung yang mereka hantar kepada saya bukan sokongan atau kelulusan yang saya berikan sebaliknya adalah menjadi tugas saya untuk menerima sebarang aduan rakyat, walaupun aduan mengenai seekor pelanduk mati di dalam hutan simpan. Saya akanmeneliti sebarang aduan sebelum membuat tindakan lanjut. Jika kerajaan belum bercadang untuk menggunakan kawasan tersebut, maka penduduk wajar memohon permit menduduki (OP) dengan Jabatan Perhutanan Sabah mengikut peraturan yang berkuatkuasa. Kerajaan kita mengutama rakyat tetapi sebaliknya pula rakyat harus mengutamakan kepentingan kerajaan dalam segala hal agar semua perancangan terlaksana.

Sabahkini.net: Akhir sekali, apakah pesanan YB kepada rakyat Silam yang menganggap diri mereka masih berada di bawah paras kemiskinan dan melontarkan tuduhan liar bahawa YB tidak berusaha untuk membantu mereka melalui projek pembangunan kecil atau melibatkan mereka dalam kegiatan ekonomi di Silam?

Salleh Kalbi: Untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang, setiap entiti masyarakat perlu berubah dan tidak boleh menuding jari kepada saya seorang atau kepada kerajaan yang saya wakili. Jalan pasti ada dan mesti ada cara tetapi bukan dengan menyalahkan saya yang kononnya tidak membantu. Merekalah yang telah memilih saya dan merekalah juga yang akan menentukan nasib saya dalam arena politik pada pilihanraya akan datang.

 

 

BUDAYA….Kemiskinan di Sabah lebih bersifat subjektif dan bukannya miskin tegas kerana mereka memilih untuk hidup sederharana sedangkan mereka mempunyai pendapatan tetap daripada pelbagai kegiatan termasuk pertanian dan perniagaan.

Saya mengamalkan dasar pintu terbuka iaitu tidak ada sebarang halangan untuk mereka mendekati saya. Rakyat Silam boleh menemui dan mengadu sebarang masalah mereka terus kepada saya jika saya ada di kawasan. Mereka juga boleh menghantar sms atau email kepada saya tanpa sekatan atau tapisan. Rakyat di kawasan saya baru sahaja menyambut ulang tahun pertama saya sebagai Ahli Parlimen Silam dan setakat ini rakyat menerima baik cara saya bekerja dan cara saya mengagehkan projek. Saya terpaksa berani berkata tidak kepada projek yang tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat. Saya perlu bertanggung jawab di atas setiap peruntukan yang saya luluskan untuk kemajuan rakyat kerana ianya adalah peruntukan kerajaan yang diambil daripada duit cukai rakyat. Maaf saya belum mendapat perangkaan rasmi jumlah sebenar mereka yang diketegorikan sebagai miskin tegar di Silam.
 
Saya akan maklumkan kemudian setelah mendapat data rasmi daripada Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan. Saya fikir rakyat saya di Silam faham bahawa tidak semua projek yang mereka minta akan diluluskan. Saya lebih positif ke arah projek yang dapat dinikmati oleh penduduk kampung dan bukannya ketua cawangan atau keluarga tertentu sahaja. Saya memilih tindakan tidak popular seperti melakukan giliran penerima projek dan bukannya menumpukkan peruntukan di sesebuah kampung sahaja seperti sebelum ini. Memandangkan peruntukan agak terhad, maka saya akan memastikan peruntukan parlimen hanya untuk projek kecil yang dilaksanakan secara gotong royong oleh JKK.
 
Projek pembangunan yang lain akan menggunakan pelbagai dana yang tersedia dan memerlukan masa untuk mendapatkan kelulusan khas. Saya harap mereka yang belum mendapat sebarang peruntukan agar memastikan permohonan mereka berorientasikan kemasyarakatan secara kolektif. Tugas kita ialah untuk mengeluarkan setiap masyarakat daripada belenggu kemiskinan dan bukan untuk memperkayakan individu tertentu. Terima kasih.

~ oleh silamgemilang di Mei 4, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: