Jurutera kembar berdebar tunggu pelancaran misi


JURUTERA kembar AT SB, Mohd Nazreen (kiri) dan Mohd Nazree bersama replika satelit yang mereka hasilkan.

PENGALAMAN menjadi anggota misi pelancaran RazakSAT adalah kenangan terindah pasangan kembar Mohd Nazree dan Mohd Nazreen Dol Bahar yang bertugas sebagai Jurutera Kapal Angkasa, di Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB).

Mula bertugas di ATSB pada 1 Mac 2004, anak kedua dan ketiga pasangan Dol Bahar Mohamad dan Ramlah Isa ini menyifatkan minat bidang sains, teknologi dan matematik menjadi faktor kepada kejayaan mereka dalam bidang aeroangkasa.

Bagi pasangan jurutera berusia 28 tahun ini, bekerja dalam satu pasukan adalah mudah kerana boleh berkongsi idea dan mereka juga banyak diberi tanggungjawab menghasilkan ciptaan baru dalam bidang teknologi angkasa oleh majikan.

Menurut Nazree, beliau turut terbabit dengan misi ujian dan pembinaan satelit mini negara iaitu CubeSAT dan InnoSAT yang akan dilancarkan serentak pada 21 April ini dan kini beliau berada di California State Universiti di Los Angeles bagi menyempurnakan proses terakhir CubeSAT sebelum satelit itu dihantar ke Kwajalein, esok.

“Sebagai jurutera yang terbabit dengan misi ini, saya berharap segala usaha yang dilakukan lima tahun ini akan membuahkan hasil seperti yang disasarkan dan RazakSAT akan berada di orbit pada tarikh dan masa yang ditetapkan.

“RazakSAT dibangunkan hasil kesungguhan dan kerjasama warga kerja ATSB terutama kumpulan jurutera, malah untuk menjadikannya satu realiti ia memerlukan banyak pengorbanan terutama dari segi masa dan komitmen kerja,” kata graduan Ijazah Elektronik dan Komunikasi dari Universiti of Leeds, United Kingdom.

NAZREE terbabit dengan misi ujian dan pembinaan satelit mini negara iaitu CubeSAT dan InnoSAT yang akan dilancarkan serentak pada 21 April ini.

Sementara itu Nazreen yang kini berada di Kwajalein pula sangat teruja ketika diberi kepercayaan menjadi salah seorang jurutera untuk misi RazakSAT dan ia menjadi semakin bertambah menjelang misi pelancarannya bulan depan.

“Kami di ATSB sudah bersedia untuk melancarkan RazakSAT dan dua satelit mini iaitu CubeSAT dan InnoSAT ke orbit yang mana kini persiapan akhir seperti memastikan penyambungan mekanikal dan elektrikal satelit itu supaya sepadan dengan Falcon 1 dan pemantauan persediaan di tapak pelancar sedang dilaksanakan.

“Malah saya dan tiga lagi rakan akan berada di Kwajalein sehingga RazakSAT dilepaskan ke orbit. Impian dan harapan sudah berjaya dilaksanakan dan kini kami menanti saat ia menjadi realiti yang mana harapan besar ini turut dikongsi semua rakyat Malaysia,” katanya.

Siapa sangka, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Pahang ini berjaya melakarkan sejarah peribadi mereka kerana membantu membangunkan bidang aeroangkasa sekali gus membuktikan anak tempatan mampu berdiri sama tinggi dan melangkah seiringan dengan jurutera lain yang pernah mencipta nama di dunia.

Kedua anak tempatan ini juga berjaya membuktikan usaha yang bersungguh dan semangat kental mampu menghasilkan kualiti kerja yang berinovatif, kreatif dan berdaya saing bagi mencapai matlamat negara dalam meningkatkan pembangunan bidang aeroangkasa serta sains dan teknologi.

Justeru, tidak mustahil ramai lagi jurutera aeroangkasa tempatan mampu dilahirkan pada masa depan jika generasi muda terutama pelajar sedar betapa pentingnya pembangunan sains dan teknologi dalam kemajuan ekonomi negara untuk bersaing dengan negara maju di dunia.

~ oleh silamgemilang di Mac 31, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: