‘Pilih pemimpin diyakini rakyat’

Abdullah minta perwakilan serius mengundi, utama kepemimpinan terbaik

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan perwakilan Umno supaya memilih kepemimpinan yang dapat memberi keyakinan kepada parti dan rakyat untuk meneruskan agenda perjuangan, khususnya bagi memulihkan ekonomi negara.

Perdana Menteri menegaskan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno serta Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri mesti serius ketika mengundi dan mengutamakan yang terbaik untuk parti dan rakyat.

“Keyakinan rakyat amat penting dan dengan pemilihan yang dibuat itu, insya-Allah kita dapat meneruskan perjuangan dan apa juga yang menjadi agenda negara dengan sebaiknya.

“Kepemimpinan yang dipilih itu bukan hanya sekadar untuk ahli parti yang suka atau yang diyakini, tetapi kita mesti fikir juga bahawa kepemimpinan Umno nanti ada peranan besar dalam kerajaan dan menjadi pemimpin negara.

“Apabila tiba masa untuk menjalankan tanggungjawab, lakukan dengan lafaz Bismillah dan dengan hati yang suci demi kepentingan parti dan perjuangan,” katanya pada sidang media selepas memberi Taklimat Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Taklimat selama 30 minit itu turut dihadiri Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan semua kepemimpinan tertinggi parti.

Perdana Menteri berkata, beliau memberi taklimat paling pendek kerana mahu perwakilan mengingati tanggungjawab diamanahkan ahli Umno di bahagian masing-masing ketika memilih barisan kepemimpinan parti.

Abdullah berkata, dalam taklimat itu beliau juga mengingatkan perwakilan supaya menghapuskan persengketaan sesama sendiri.

Katanya, ahli Umno yang bertelagah, mementingkan diri sendiri dan tidak menghiraukan masa depan parti, sebenarnya yang merosakkan parti itu.

Malah, katanya, keburukan pemimpin Umno disebarkan oleh ahli Umno sendiri menerusi pelbagai cara, termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dan surat layang sehingga pihak pembangkang mengambil kesempatan terhadapnya.

“Kita mengasah kebolehan untuk bercakaran. Apa yang berlaku dan melemahkan Umno adalah dari dalam Umno itu sendiri. Bukan orang lain. Kita hantar bola tanggung dan orang lain ‘smash’ lah. Yang merosakkan susu sebelanga bukan kerana nila sebelanga, tapi hanya nila setitik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu ahli Umno melakukan perubahan pada diri sendiri terlebih dulu sebelum melakukan sebarang perubahan pada parti itu.

“Jika hendak melakukan perubahan dalam Umno, lakukan perubahan pada hati dan perangai terlebih dulu. Bukan cakap lain, bikin lain. Kita mahu pewaris dalam Umno menambah nilai dalam perjuangan kita dan kejayaan kita,” katanya.

Mengenai proses peralihan kepada timbalannya, Abdullah berkata, beliau tahu apa yang hendak dibuat dan tidak mahu ada pihak mengganggunya.

Mengenai perasaannya ketika taklimat terakhir itu, Perdana Menteri berkata, beliau bukan jenis orang yang sentimental.

Mengulas usaha pihak tertentu yang ingin menghalang perhimpunan Umno, Abdullah berkata, perkara itu tidak akan berlaku dan tidak harus dipercayai.

~ oleh silamgemilang di Mac 25, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: