KPN Perbaharui Ikrar Sempena Sambutan Hari Polis

KPN Perbaharui Ikrar Sempena Sambutan Hari Polis

Oleh Norshazlina Norazman

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) — Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan akan memperbaharui dan memberikan ikrar semula pada sambutan Hari Polis, Rabu bagi meningkatkan peranan dan prestasi pasukan polis dalam menjaga ketenteraman awam dan membanteras jenayah.

Beliau secara peribadi akan memperbaharui ikrar itu sejajar dengan hasrat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneruskan misi dan visi ke arah menjadikan PDRM sebagai pasukan yang lebih mantap selain meneruskan kejayaan dan mengatasi kelemahan yang ada.

Pada majlis yang akan berlangsung di Pusat Latihan Polis dan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu juga buat pertama kalinya lagu baru PDRM ‘Tegas, Adil dan Berhemah’ akan diperdengarkan.

“Antara intipati ikrar yang akan dibacakan nanti termasuklah janji saya dalam menentukan keselamatan negara agar tidak diganggu gugat dengan sebarang ancaman dan anasir luar, tanggungjawab untuk membanteras jenayah, merapatkan hubungan baik masyarakat dan polis selain berjanji menjalankan tugas tanpa penyelewengan, rasuah dan keganasan.

“Saya memperbaharui ikrar itu untuk mengingatkan semula kepada semua pihak termasuk masyarakat tentang peranan yang warga polis mainkan serta betapa seriusnya kami dalam membanteras jenayah,” katanya dalam temubual bersama Bernama di Wisma Bernama di sini malam Selasa.

Beliau berkata dengan ikrar itu, sekurang-kurangnya dapat mengubah tanggapan serong masyarakat terhadap pasukan polis kerana polis sentiasa melaksanakan tanggungjawab dan menunjukkan prestasi serta mutu kerja yang berkualiti selain berupaya mengurangkan kadar jenayah.

“Masih ada suara-suara sumbang yang menuding jari menyalahkan polis dan memandang serong terhadap kami. Jika masyarakat seringkali menyalahkan pihak polis, itu hanya akan menggalakkan orang ramai melanggar undang-undang dan satu masa nanti polis tidak dihormati dan penjenayah akan bermaharajalela.

“Justeru pada Hari Polis ke-202 ini, kami berusaha untuk berubah dari kepolisan tradisional kepada kepolisan yang lebih moden dan canggih, sesuai dengan peredaran zaman serta memantapkan lagi jentera kami,” katanya.

Antara perancangan untuk masa hadapan PDRM ialah membuat penstrukturan baru di PDRM dengan mewujudkan satu jabatan baru untuk mengawal kegiatan pengganas dan jenayah yang merentasi sempadan.

Selain itu, bagi meningkatkan kebolehan dan tahap kecekapan anggota, pusat-pusat latihan akan diwujudkan dengan mendapat kerjasama dari pakar luar negara seperti Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI).

Beliau berkata bagi mencapai pelan strategik lima tahun, PDRM memerlukan penambahan keanggotaan sehingga 60,000 bagi mengimbangi ratio masyarakat dengan polis.

“Kami hanya mempunyai 106,000 anggota. Kini, kami juga diberi tanggungjawab untuk menjaga perairan dan sempadan negara, justeru kami memerlukan lebih ramai lagi tenaga dan meningkatkan logistik kami,” katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya lebih rasional dalam pemikiran dan jangan lakukan perkara yang merosakkan keamanan terutama ketika kegawatan ekonomi.

“Pada anggota pula, apa yang saya rencanakan dan polisi yang telah saya gariskan, patuhi dan jalankan tugas dengan sebaiknya.

“Saya akan beri apa sahaja keperluan bagi memudahkan tugas anggota tetapi mereka perlulah memastikan bahawa mereka bebas dari salah guna kuasa, rasuah dan jalankan tugas dengan amanah dan jujur,” katanya.

— BERNAMA

~ oleh silamgemilang di Mac 25, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: