Pembersihan parti perlu kerjasama padu iltizam ahli

PERALIHAN kepemimpinan dalam Umno akan berlaku selepas berakhirnya Perhimpunan Agung minggu ini sekali gus menyaksikan Datuk Seri Najib Razak mengambil alih sebagai Presiden parti dan seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri. Pada masa yang sama, Najib akan mengetuai pasukan baru Umno yang dipilih oleh kira-kira 2,000 perwakilan. Justeru, tanggungjawab perwakilan Umno pada perhimpunan agung kali ini amat besar kerana barisan kepemimpinan yang bakal mereka pilih, daripada ketua Pergerakan Puteri, Pemuda, Wanita, ahli Majlis Tertinggi, Naib Presiden hinggalah kepada Timbalan Presiden, bakal mencorakkan masa depan parti di bawah kepemimpinan Najib. Seperti dibayangkan oleh Najib dalam temuramah khas disiarkan akhbar ini semalam, beliau memerlukan barisan baru yang terbuka dan sanggup melakukan perubahan. Dalam kata lain, barisan yang dimaksudkan Timbalan Presiden Umno itu mesti komited pada perjuangan parti lebih daripada memikirkan diri atau kelompok sendiri. Perkara kedua digariskan Najib ialah mereka yang bersikap terbuka iaitu bersedia untuk melakukan pembaharuan dan perubahan, manakala ketiganya ialah pemimpin yang mencerminkan apa yang baik di sisi rakyat. Ciri-ciri pemimpin sebeginilah yang sebaik-baiknya dipilih oleh perwakilan nanti untuk menduduki pelbagai jawatan dalam parti.

Kini terserahlah kepada perwakilan untuk memastikan calon yang memiliki ciri-ciri itu terpilih dalam barisan baru kepemimpinan Umno apabila mereka mengundi nanti. Kita menjangka, Najib akan memperincikan kriteria itu apabila buat kali terakhir selaku Timbalan Presiden, beliau akan berucap merasmikan serentak perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri malam esok. Bukan saja ahli Umno, malah rakyat terutama orang Melayu mahukan perubahan dalam Umno jika parti itu mahu terus relevan. Umno perlu berubah jika tidak mahu diubah pada pilihan raya umum akan datang. Inilah juga tugas berat Najib yang bakal memimpin parti dan kerajaan dalam suasana yang amat mencabar, dihambat oleh kegawatan ekonomi dan kemelut politik yang tidak pernah dihadapi oleh mana-mana Presiden Umno atau Perdana Menteri sebaik memulakan tugas nombor satu itu sejak 50 tahun lalu. Umno perlu melakukan pengukuhan budaya dan sistem nilai pada semua peringkat bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN). Bayangan awal usaha Najib untuk memulihkan imej Umno dan integriti pemimpinnya ialah apabila beliau berjanji melakukan ‘pembersihan’ dalam Umno dan membuat perubahan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu pada dialog sempena Perasmian Persidangan Agenda Integriti Nasional, di ibu negara, Selasa lalu. Tindakan Lembaga Disiplin Umno terhadap beberapa calon kerana melanggar etika parti dan mengamalkan politik wang boleh dianggap permulaan langkah ke arah perubahan dan pemulihan Umno supaya ia terus relevan sebagai parti yang menjadi tonggak pemerintahan negara ini.

~ oleh silamgemilang di Mac 23, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: