Alat muzik tradisional kebanggaan rakyat Sabah Kulintangan suku kaum Bonggi.

Alat muzik tradisional kebanggaan rakyat Sabah Kulintangan suku kaum Bonggi. 1st June, 2009 Sabah kaya dengan kebudayaan dan kesenian. Ramai nenek moyang atau generasi lama di negeri ini mahir membuat alat-alat muzik tradisional yang menjadi kebanggan kepada rakyat negeri ini sehingga sekarang. Namun semua itu, akan hilang ditelan zaman atau hanya tinggal kenangan sekiranya generasi masa kini terutamanya golongan muda tidak mengambil peluang untuk mempelajarinya. Menyedari hakikat itu, demonstrasi pembuatan alat muzik tradisional turut diadakan pada Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, di Hongkod KDCA yang antaranya bertujuan memperlihatkan serta menimbulkan kembali minat masyarakat terhadap pembuatan alat muzik tradisional. Namun usaha itu sahaja tidak mencukupi, sebaliknya generasi muda harus mempelajari bagaimana membuat alat-alat muzik tradisional bukan sekadar untuk hiasan dan dijadikan sebagai kraftangan semata-mata tetapi mempelajari bagaimana menghasilkan alat muzik yang boleh ‘dibunyikan’. Antara peralatan muzik tradisional masyarakat Kadazandusun Murut yang sangat popular pada zaman dahulu ialah sompoton, kulintangan, tagunggu, togunggak, turali dan bungkau yang kebanyakannya diperbuat daripada bambu. Pembuat alat muzik tradisional yang ditemui pada demonstrasi membuat alat muzik tradisional di Hongkod KDCA, kelmarin menyatakan, pandangan masyarakat terutamanya generasi muda bahawa kerja-kerja membuat peralatan muzik tradisional hanya layak dilakukan oleh generasi lama atau orang tua harus dikikis. “Kerja-kerja membuat sesebuah alat muzik tradisional tidak semudah yang disangka. Misalnya ‘Kulintangan’ yang saya buat, walaupun kita nampak ia hanya susunan bambu-bambu kecil tetapi sebenarnya ia perlukan kemahiran yang tinggi untuk menghasilkannya supaya ia mengeluarkan bunyi yang merdu. “Kulintangan dan alat-alat muzik tradisional juga sama seperti muzik moden, yang mempunyai kod-kod atau nada yang sesuai,” kata Mariana Linadu, 56, dari Kampung Tikolod Tambunan. Oleh itu, katanya penghasilan alat muzik tradisional memerlukan kemahiran dan ketelitian agar ia boleh mengeluarkan nada yang merdu. Dia berkata: “Saya mewarisi kemahiran membuat Kulintangan daripada ibu bapa saya. Mereka memang mahir dalam bidang ini. “Saya akan wariskan kemahiran ini kepada anak saya pula dan begitulah seterusnya. Bukan semua orang ada bakat dan kemahiran dalam bidang ini, jadi dengan adanya orang yang mahir, mungkin mereka boleh mengajar sesiapa sahaja yang berminat membuat alat muzik tradisional,” katanya. Katanya lagi, kemahiran membuat alat-alat muzik tradisional harus diwariskan atau diajarkan kepada generasi muda Kadazandusun.“Begitu juga dengan kemahiran bermain muzik tradisional, ia perlu diajar supaya tidak pupus”. Sementara itu, seorang lagi pembuat alat muzik tradisional, Paulus Gidwin dari Papar berkata, walaupun alat muzik Togunggak dan Togunggu yang dibuatnya kelihatan agak ringkas dan senang untuk menghasilkannya, namun sebenarnya ia sukar. “Apa yang susahnya ialah, kerja-kerja mencari bambu di hutan, kita mesti mencari jenis bambu yang sesuai untuk dijadikan Togunggu dan Togunggak,” katanya. Paulus juga berharap anak-anak muda mempelajari kemahiran yang diwarisi daripada nenek moyang mereka, bukan sahaja dari segi pembuatan alat-alat muzik tradisional tetapi juga kraftangan. Bagaimanapun bukan semua generasi muda minat mempelajari muzik tradisional kerana mereka kini lebih terdedah kepada muzik-muzik moden yang lebih cantik dan menarik. Namun apa yang kita banggakan ialah penganjuran pertandingan Orkestra Bambu sempena pesta kaamatan peringkat negeri. Pertandingan seumpama itu, kini diadakan setiap tahun bagi mencungkil bakat-bakat baru di kalangan generasi muda dalam bidang muzik tradisional. Alex Jones Punggin, bekas pelajar SMK Tenghilan yang aktif dalam Orkestra Bambu di sekolah itu dan pernah mengikuti pertandingan Orkestra Bambu peringkat negeri mencadangkan supaya pengwujudan Kelab Orkestra Bambu di sekolah diperluaskan ke sekolah-sekolah menengah lain di seluruh negeri, bagi membolehkan para pelajar mempelajari muzik tradisional. “Sebelum menyertai Kelab Orkestra Bambu di sekolah dulu, saya langsung tidak tahu bagaimana bermain sompoton seruling dan alat-alat muzik tradisional yang lain, kerana kalau ada karamaian di kampung hanya gong yang selalu dimainkan. “Tetapi berkat kesabaran dan tunjuk ajar daripada guru pembimbing kelab itu, akhirnya saya tahu memainkan apa sahaja lagu menggunakan sompoton dan seruling,” katanya. Katanya lagi: “Pada mulanya, ia agak membosankan tetapi apabila dimainkan secara berkumpulan, baru lah kita dapat merasai betapa merdunya muzik tradisional daripada bambu”.

~ oleh silamgemilang di Jun 2, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: